Resepi kurma ayam antara pilihan lauk yang selalu menjadi penyelamat apabila buntu memikirkan menu untuk makan tengah hari atau malam. Kuahnya yang berlemak, rasa rempah yang harum serta isi ayam yang lembut memang sesuai dinikmati bersama nasi putih panas.

Kali ini, apa kata cuba masak kurma ayam dengan tambahan telur rebus. Bukan sahaja menjadikan hidangan lebih meriah, malah telur rebus yang menyerap kuah kurma juga memberikan rasa yang lebih menarik.

Cara penyediaannya pun tidaklah rumit. Bahan-bahan seperti bawang, halia dan rempah kurma perlu ditumis terlebih dahulu sehingga pecah minyak sebelum ayam dan bahan-bahan lain dimasukkan. Ikuti resipi perkongsian ini untuk menyediakan lauk berkuah yang sesuai dinikmati seisi keluarga.

Baca juga: Resepi Sup Telur Kentang Simple, Tumis & Hirup Panas-Panas Memang Nikmat!

RESEPI KURMA AYAM TELUR REBUS

resepi kurma ayam

Bahan-bahan:

  • Ayam secukupnya
  • Telur rebus
  • Lobak merah
  • Bawang merah (dihiris)
  • Bawang putih (dihiris)
  • Halia (dihiris)
  • Bawang besar (dipotong)
  • Rempah 4 sekawan
  • 3-4 sudu rempah kurma
  • Santan
  • Air secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • Kiub ayam
  • Gula secukup rasa
  • Minyak masak

Cara-cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah 4 sekawan sehingga naik bau dan sedikit kekuningan.
  2. Masukkan rempah kurma bersama sedikit air. Kacau dan tumis sehingga rempah benar-benar masak serta pecah minyak supaya kuah tidak berasa mentah.
  3. Kemudian, masukkan ayam dan gaul sehingga sebati dengan rempah tumisan.
  4. Tuangkan air secukupnya sehingga ayam hampir tenggelam. Biarkan sehingga kuah mendidih dan ayam mula empuk.
  5. Masukkan lobak merah dan santan. Kacau perlahan supaya santan sebati dengan kuah.
  6. Perasakan dengan garam, kiub ayam dan sedikit gula mengikut cita rasa.
  7. Akhir sekali, masukkan telur rebus dan bawang besar yang telah dipotong.
  8. Biarkan seketika sehingga semua bahan masak dan kuah mencapai kepekatan yang diinginkan.
  9. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan bersama nasi putih panas.

Sumber: Ain Ahmad’s

Baca juga: Resipi Telur Dadar Masak Lemak Cili Api, Lauk Jimat Dengan Kuah Pekat Berlemak Pedas!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending