
Kuih lapis labu bunga telang ini bukan sahaja menarik dengan gabungan warna kuning dan biru, malah teksturnya juga lembut dan cukup lemak. Warna kuning datang daripada labu yang dilenyek, manakala warna biru pula menggunakan air bunga telang.
Kalau selalu buat kuih lapis dengan satu warna atau warna biasa, resipi ini boleh dicuba untuk kelainan. Gabungan labu dan bunga telang menjadikan rupa kuih lebih menyerlah apabila dihidangkan pada majlis istimewa.
Cara membuatnya juga tidaklah sesusah yang disangka. Adunan hanya perlu disediakan mengikut dua bahagian, kemudian dikukus secara berlapis sehingga masak. Setiap lapisan pula dikukus selama beberapa minit sebelum dituangkan lapisan seterusnya.
Baca juga: Resipi Kuih Cara Crispy Yang Rangup Di Luar & Lembut Di Dalam, Sebiji Tak Cukup!
RESEPI KUIH LAPIS LABU BUNGA TELANG

Bahan bahagian labu/kuning:
- 1 cawan tepung beras
- 1/4 cawan tepung gandum
- 1/4 cawan tepung jagung
- 1/2 cawan gula pasir
- 1/2 cawan santan pekat
- 1 cawan labu yang direbus atau dikukus dan dilenyek
- 1 cawan air
- Sedikit garam
Bahan bahagian biru:
- 1 cawan tepung beras
- 1/4 cawan tepung gandum
- 1/4 cawan tepung jagung
- 1/2 cawan gula pasir
- 1 cawan santan pekat
- 1 cawan air bunga telang
- Sedikit garam
Cara-cara penyediaan:
- Untuk bahagian labu, campurkan tepung beras, tepung gandum, tepung jagung dan gula pasir dalam satu bekas.
- Masukkan santan, air, garam dan labu yang sudah direbus atau dikukus serta dilenyek. Kacau sehingga semua bahan sebati.
- Tapis adunan supaya hasilnya lebih halus dan tidak berketul. Jika mahu lebih mudah, adunan juga boleh dikisar menggunakan pengisar.
- Untuk bahagian biru pula, campurkan tepung beras, tepung gandum, tepung jagung dan gula pasir.
- Masukkan santan, air bunga telang dan sedikit garam. Kacau hingga sebati, kemudian tapis adunan.
- Panaskan pengukus terlebih dahulu. Sapu sedikit minyak pada acuan atau loyang yang digunakan supaya kuih mudah dikeluarkan selepas masak.
- Tuangkan lapisan pertama daripada adunan labu atau kuning. Kukus selama kira-kira 5 minit.
- Selepas itu, tuangkan lapisan biru di atasnya dan kukus lagi selama 5 minit.
- Ulang proses melapis secara berselang-seli sehingga semua adunan habis.
- Untuk lapisan terakhir, kukus sehingga kuih benar-benar masak, iaitu keseluruhan proses mengambil masa kira-kira 20 minit.
- Biarkan kuih sejuk terlebih dahulu sebelum dipotong supaya lapisannya lebih kemas dan tidak mudah rosak.
Sumber: Ied Ad
Baca juga: Cara Buat Kuih Sekaya Telur Pantai Timur, Lemak Manis & Sukar Ditemui Selain Bulan Puasa
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














