
Kalau suka kuih tradisional yang ada inti dan rasa lemak beraroma, boleh cuba resepi cara berlauk versi selambak ini. Menariknya, kuih ini tak perlu dimasak satu per satu menggunakan acuan seperti kuih cara berlauk biasa.
Versi selambak ini lebih mudah kerana adunan tepung hanya dimasak terus dalam non-stick pan. Kemudian, inti daging yang sudah dimasak bersama rempah kari ditaburkan di atasnya sebelum ditutup dan dimasak sehingga betul-betul masak.
Hasilnya, kuih cara yang lembut, lemak dan berinti daging ini boleh dipotong mengikut saiz yang diinginkan. Memang sesuai dibuat untuk sarapan, minum petang atau hidangan ketika ada tetamu datang.
Baca juga: Buat Kuih Seri Muka Licin & Cantik, Rupanya Kena Buka Tutup Kukusan Setiap 5 Minit
RESEPI CARA BERLAUK VERSI SELAMBAK

Bahan A – Inti Daging:
- 1 paket daging kisar
- 2 biji bawang besar (dipotong dadu)
- 3 ulas bawang putih (dipotong dadu)
- 4 sudu besar serbuk kari daging
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
- Lada sulah biji (ditumbuk)
Bahan B – Adunan Tepung:
- 1 cawan tepung gandum
- ½ kotak santan kecil
- Air secukupnya sehingga menjadi 1 cawan
- Sedikit garam
- 1 sudu besar minyak masak
- Sedikit pewarna kuning
Bahan C – Taburan:
- Daun sup (dihiris)
- Daun bawang (dihiris)
- Lada besar merah (dihiris)
Cara-cara penyediaan:
- Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau.
- Masukkan daging kisar. Kacau dan masak sehingga daging berubah warna. Kemudian, masukkan serbuk kari daging, garam dan gula. Masak sehingga daging hampir kering.
- Tutup api dan taburkan lada sulah yang sudah ditumbuk. Kacau rata, kemudian toskan inti daging selama kira-kira 1 hingga 2 jam supaya lebihan minyak atau air keluar.
- Untuk menyediakan adunan, masukkan tepung gandum, santan yang sudah dicampur air sehingga cukup 1 cawan, garam, minyak masak dan sedikit pewarna kuning ke dalam bekas.
- Kacau menggunakan whisk sehingga adunan sebati dan tidak berketul. Jika adunan terlalu pekat, tambahkan sedikit air sehingga mendapat konsistensi yang sesuai.
- Panaskan non-stick pan menggunakan api kecil. Masukkan kira-kira ½ sudu kecil minyak masak dan ratakan pada permukaan pan.
- Tuangkan adunan tepung ke dalam pan dan ratakan. Biarkan ia masak sehingga separuh masak.
- Taburkan inti daging yang telah ditoskan tadi secara rata di seluruh permukaan adunan.
- Tutup pan dan biarkan kuih masak menggunakan api kecil. Sesekali buka penutup untuk periksa sama ada bahagian tepung sudah betul-betul masak.
- Apabila kuih sudah masak, taburkan daun sup, daun bawang dan hirisan lada besar merah. Angkat dan potong mengikut saiz yang diinginkan sebelum dihidangkan.
Sumber: Irdawati Jorime
Baca juga: Cara Membuat Kuih Sagu Yang Menjadi Setiap Kali, Rahsianya Kacau 10 Minit Sahaja
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














