
Kalau sebut resepi badak berendam, pasti terbayang doh pulut hijau yang lembut dan kenyal, berinti kelapa manis, kemudian disaluti kuah santan putih pekat berkrim. Kuih tradisional ini memang tak lapuk dek zaman dan sentiasa jadi pilihan untuk minum petang, majlis keluarga atau juadah berbuka puasa.
Dalam artikel ini, kami kongsikan resepi badak berendam lengkap dengan sukatan tepat dan tip penting supaya hasilnya cantik, tak pecah dan kuah tak berketul.
Baca juga: Kuih Tepung Pelita Moden, Resipi Tradisional Melayu Dengan Sentuhan Moden Yang Memikat
RESEPI BADAK BERENDAM LEMBUT

Bahan-bahan inti kelapa:
- 1 cawan air panas
- ½ cawan gula merah
- 2 sudu besar gula pasir
- ½ biji kelapa parut
- 1½ sudu besar tepung gandum
- Secubit garam
- 1 helai daun pandan (disimpul)
- ½ sudu teh kicap karamel (pilihan)
Cara-cara penyediaan inti:
1. Larutkan gula merah dan gula pasir dengan air panas. Tapis.
2. Masukkan ke dalam kuali bersama daun pandan dan masak hingga mendidih.
3. Tambah kelapa parut dan garam.
4. Kacau hingga agak kering.
5. Masukkan tepung gandum dan kacau hingga sebati.
6. Tutup api dan biarkan sejuk sebelum dibulatkan.
*Tip penting: Inti perlu sedikit kering supaya tidak bocor ketika direbus.
Bahan-bahan doh hijau:
- 2 cawan tepung pulut
- 2 sudu besar membukit tepung gandum
- Secubit garam
- 1 cawan air pandan (kisar 3 helai daun pandan + 1 cawan air, tapis)
- Sedikit pewarna hijau epal
Cara-cara penyediaan doh hijau:
1. Didihkan air dalam periuk terlebih dahulu.
2. Gaulkan tepung pulut, tepung gandum dan garam.
3. Masukkan air pandan sedikit demi sedikit hingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan.
4. Leperkan doh, letakkan inti kelapa dan tutup kemas.
5. Bulatkan dan masukkan ke dalam air mendidih.
6. Apabila doh timbul, angkat dan toskan.
*Rahsia doh cantik: Pastikan air benar-benar mendidih sebelum memasukkan bebola supaya tekstur kekal kenyal.
Bahan-bahan kuah santan:
- 1 cawan santan pekat
- 3 cawan air
- ½ sudu teh garam
- 2 cubit gula
- 3 sudu besar membukit tepung beras
- 2 sudu besar membukit tepung gandum
Cara-cara penyediaan kuah santan:
1. Satukan semua bahan dan kacau hingga larut.
2. Tapis ke dalam periuk untuk elakkan berketul.
3. Masak atas api sederhana perlahan sambil kacau berterusan.
4. Apabila kuah mendidih dan pekat, terus tutup api.
5. Cedok kuah ke dalam mangkuk dan masukkan bebola pulut yang telah ditoskan.
Cara Hidang Resepi Badak Berendam
- Sedap dinikmati ketika panas – kuah lebih berkrim dan wangi.
- Boleh juga dimakan sejuk – rasa lebih sebati dan tekstur lebih padat.
- Simpan dalam peti sejuk dan habiskan dalam tempoh 1–2 hari.
Resepi badak berendam ini menggabungkan doh pulut lembut, inti kelapa manis dan kuah santan pekat yang cukup seimbang rasanya. Kuih tradisional ini bukan sahaja membangkitkan nostalgia, malah sesuai dijadikan hidangan istimewa untuk keluarga tersayang.
Selamat mencuba!
Sumber: Mariana Zainal
Baca juga: Pernah Dengar ‘Kuih Cecemek’? Manisan Warisan Perak Berkuah Santan Yang Sedap Untuk Minum Petang
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














