Resepi ayam goreng 65 ini sangat mudah dan ringkas. Sesiapa saja boleh belajar memasaknya.
Lauk ini merupakan salah menu kegemaran orang ramai setiap kali ke restoran mamak. Makan pula dengan nasi dan kuah kari, memang layan!
Jika ada yang ingin tahu apa bahan-bahan dan cara membuatnya, mari ikuti perkongsian oleh Sheena Supramaniam di bawah.
Baca juga: Resipi Ayam Masak Serai Yang Cukup Simple, Rasa Ala-Ala Rendang
RESEPI AYAM GORENG 65 RANGUP
Bahan-bahan:
- 600gm hingga 800gm ayam (dipotong kecil)
- 2 sudu besar tepung jagung
- 1 sudu besar tepung beras
- Daun kari
- Minyak untuk menggoreng
Bahan perapan:
- 2 sudu besar bawang putih & halia (dikisar)
- 2 sudu besar serbuk jintan manis
- 1 ½ sudu besar serbuk ketumbar
- 1 sudu kecil serbuk kunyit
- 2 sudu besar serbuk cili
- 2 sudu besar serbuk cili kashmiri (optional)
- Garam secukupnya
- 2 sudu besar yogurt
- 1 sudu besar serbuk lada putih
Cara-cara:
1. Di dalam mangkuk berisi ayam, masukkan semua bahan perapan ayam dan gaul sebati.
2. Tutup mangkuk dengan aluminium foil atau masukkan ke dalam bekas kedap udara. Simpan di dalam peti sejuk. Perap sekurang-kurangnya 1 jam dan maksimum semalaman. (Empunya resipi perap selama 4 jam)
3. Selepas perap, masukkan tepung jagung dan tepung beras.
4. Seterusnya, masukkan pula daun kari dan gaul sebati.
5. Panaskan minyak dan biarkan api kecil sehingga minyak betul-betul panas. Lebih kurang 5 minit.
6. Bila api sudah panas, masukkan ayam dan naikkan api kepada sederhana besar.
7. Selepas masukkan ayam, jangan kacau selama 2 minit. Kemudian, pusing sebelah lagi dan biarkan selama 2 minit. Ulang langkah ini untuk seminit atau 2 minit. Masa untuk masak ayam ini dalam 5 hingga 7 minit sahaja.
8. Angkat ayam dan perah sedikit limau nipis sebelum dimakan.
Kredit resipi dan gambar: Sheena Supramaniam
Baca juga: Resipi Nasi Ayam Paling Mudah Nak Buat, Sama Sedap Macam Di Kedai