Bila teringin makan asam laksa tetapi tak mahu bersusah payah merebus ikan segar, resepi asam laksa sardin ini boleh jadi pilihan. Guna ikan sardin dalam tin saja, cara masaknya pun lebih ringkas.

Menurut perkongsian Noor Hafiza Mohamad di Facebook, kuah laksa ini mudah disediakan dengan mengisar bahan-bahan asas sebelum dimasak bersama bunga kantan, daun kesum dan asam keping. Hasilnya, kuah yang masam, pedas dan cukup beraroma.

Baca juga: Cara Buat Kuah Bakso Ala Kedai, Goreng Dulu Bahan Kisar Barulah Kuah ‘Extra’ Wangi!

RESEPI ASAM LAKSA SARDIN

resepi asam laksa sardin

Menariknya, resepi ini tidak memerlukan ikan segar. Ikan sardin dalam tin digunakan sebagai bahan utama kuah, sekali gus menjadikan penyediaannya lebih cepat apabila tiba-tiba mengidam asam laksa.

Bahan-bahan:

Bahan kuah:

  • 1 tin ikan sardin
  • Air secukupnya
  • Sedikit nanas
  • Bawang merah
  • Cili kering
  • Belacan
  • Pes asam pedas
  • Bunga kantan
  • Daun kesum
  • Asam keping
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • Serbuk perasa jika suka

Bahan untuk dihidangkan:

  • Laksa kering halus
  • Telur rebus
  • Salad
  • Cili
  • Limau
  • Timun
  • Bawang merah
  • Nanas

Boleh juga tambah telur sarang atau telur puyuh untuk menjadikan hidangan lebih meriah.

Cara-cara penyediaan:

1. Masukkan air, separuh ikan sardin bersama kuahnya, sedikit nanas, bawang merah, cili kering dan belacan ke dalam pengisar.

2. Kisar semua bahan sehingga halus dan sebati.

3. Tuangkan bahan kisar ke dalam periuk dan tambahkan air secukupnya mengikut kepekatan kuah yang disukai.

4. Masukkan pes asam pedas dan baki ikan sardin yang telah dilenyek kasar.

5. Kemudian masukkan bunga kantan, daun kesum dan asam keping.

6. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa mengikut cita rasa.

7. Masak kuah sehingga mendidih dan biarkan seketika supaya semua bahan sebati serta aromanya naik.

8. Sementara itu, rebus laksa kering sehingga lembut. Toskan dan ketepikan.

9. Rebus telur dan sediakan bahan ulam seperti salad, cili, limau, timun, bawang merah serta nanas.

10. Masukkan laksa ke dalam mangkuk, tuangkan kuah asam laksa sardin dan susun bahan ulam serta telur di atasnya.

Tips buat asam laksa sardin lebih sedap

  • Jangan kedekut bunga kantan dan daun kesum. Kedua-dua bahan ini penting untuk memberikan aroma yang lebih harum pada kuah laksa.
  • Bunga kantan dan daun kesum juga membantu mengurangkan rasa hanyir ikan, terutama apabila menggunakan ikan sardin dalam tin.
  • Untuk rasa yang lebih menarik, hidangkan bersama hirisan nanas, timun, bawang merah, cili dan perahan limau. Kalau suka tekstur yang lebih rangup, telur sarang atau telur dadar crunchy juga boleh dijadikan pelengkap.

Dengan cara ini, bila tiba-tiba mengidam asam laksa, tak perlu tunggu ada ikan segar di dapur. Gunakan ikan sardin dalam tin dan sediakan kuah laksa yang masam pedas untuk dinikmati bersama keluarga.

Selamat mencuba!

Sumber: Noor Hafiza Mohamad

Baca juga: Cara Buat Kuah Kari Ayam Pekat Dan Berlemak, Rupanya Buah Keras Jadi Rahsia Utamanya!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending