Selepas menjamu selera hidangan utama, pasti anda sekeluarga mahukan pencuci mulut sebagai penutup. Buat anda yang sukakan pencuci mulut yang segar dan sedap, anda patut cuba Puding Tauhu Laici.
Puding ini merupakan salah satu pencuci mulut yang sering dihidangkan semasa jamuan. Badan anda akan terasa segar selepas makan puding ini.
Lebih-lebih lagi kalau cuaca panas. Dapat makan puding ini, tekak pun lega dibuatnya.
Walaupun resipi ini dipanggil puding tauhu, ia tidak menggunakan sebarang tauhu atau kacang soya sekalipun.
Sebenarnya cara penyediaannya seperti menyediakan taufu fah yang membuatkan ia dipanggil sebegitu. Cara buatnya pun cukup mudah dan ringkas.
Biasanya ibu-ibu yang suka sediakan puding ini untuk hidangan keluarga. Anak-anak memang sangat sukakan puding. Sedapnya ya amat.
Buat anda yang belum pernah merasa puding ini, anda boleh cuba resipi yang dikongsikan oleh Rozita Daud di Facebook.
Baca juga: Puding Roti Buah Selasih, Penyelamat Roti Yang Tidak Habis!
RESEPI PUDING TAUHU LAICI
Bahan-bahan:
- 20g agar-agar tali
- 1250ml air
- 1 kotak santan 200ml
- 1 tin susu cair
- 1 tin susu pekat
- 1 tin laici
- 2 senduk gula
Cara-cara:
1. Masak agar-agar tali dengan air sampai agar-agar cair. Selepas cair, masukkan santan, susu cair dan susu pekat. Kacau sampai mendidih.
2. Bilas loyang tapi jangan dilap. Biar saja dan terus tuang puding tadi. Sementara tunggu keras boleh buat kuah laici dulu.
3. Cairkan gula dengan air panas dan masukkan air laici. Biarkan laici dalam tin. Selepas itu letak air lagi. Kalau rasa dah okay, boleh masukkan dalam peti sejuk.
4. Puding yang sudah keras boleh dipotong dan dimasukkan ke dalam bekas. Siat-siat buah laici dalam bentuk kecil. Akhir sekali, masukkan air laici. Siap!
Puding Tauhu Laici ni sedap dimakan sejuk-sejuk. Boleh letakkannya dalam peti sejuk selama 2 jam kemudian baru anda nikmatinya. Pencuci mulut ini sangat sedap dan segar. Selamat mencuba!
Sumber: Rozita Daud
Baca juga: Puding Blueberry Cincau, Makan Sejuk-Sejuk Memang Nikmat!