Ramai yang cuba kemahiran memasak hidangan yang kreatif sempena Hari Merdeka dan kami terjumpa Puding Merdeka yang sangat cantik.
Hari Merdeka atau Hari Kebangsaan Malaysia disambut pada 31 Ogos setiap tahun sebagai memperingati jasa pejuang negara dan tema Hari Merdeka 2024 kali ini adalah “Jiwa Merdeka”.
Melalui video perkongsian di TikTok oleh thahwatermelon, hasil Puding Merdeka yang dibuatnya mendapat pujian ramai dan beliau sudi kongsikan resipinya. Jom kita cuba!
Baca juga: Aiskrim Malaysia Red Velvet, Bahan ‘Ini’ Buat Ia Nampak Lagi Menarik!
RESIPI PUDING MERDEKA BENTUK JALUR GEMILANG
Bahan-bahan:
- 1 paket agar-agar strip 20gm (potong kecil dan rendam selama 10 minit)
- 5 cawan air
- 2 cawan gula
- 1 keping roti (potong bahagian tepi)
- 3 biji telur A atau B
- 5 sudu besar tepung kastard
- 1 tin susu cair
- ½ sudu teh red velvet emulco (boleh ganti dengan sirap)
- Pewarna merah, putih, biru dan kuning
Cara-cara membuat:
1. Mula-mula, kisar roti, telur, tepung kastard dan susu cair sampai halus, kemudian ketepikan terlebih dahulu.
2. Didihkan air dan masukkan agar-agar, kemudian kacau sampai hancur dan campur gula. Kacau tanpa henti sampai larut dan mendidih.
3. Tuang adunan yang telah dikisar tadi dan kacau sampai mendidih, kemudian tutup api dan biarkan sedikit suam.
4. Bahagikan adunan kepada 4 bahagian. Satu bahagian dicampur dengan red velvet emulco dan pewarna merah, satu bahagian dicampur warna putih, satu kuning dan satu biru.
5. Tuang adunan kuning ke dalam bekas, kemudian simpan dalam peti sejuk dan biarkan keras. Tekap gambar bintang dan bulan pada puding, kemudian potong.
6. Basahkan loyang saiz 9 ½” dengan sedikit air. Tuang adunan putih di tengah loyang sebanyak 4 senduk. Kemudian, tuang adunan merah 4 senduk di atas adunan putih.
7. Tuang adunan putih semula 4 senduk, diikuti adunan merah 4 senduk. Ulang langkah yang sama sampai adunan habis. Adunan putih mesti di atas sekali.
8. Tuang 4 senduk adunan biru di atas adunan putih dan simpan di dalam peti sejuk selama 3 hingga 4 jam.
9. Renggangkan tepi puding dengan jari, ambil pinggan dan terlengkupkan loyang. Ambil pinggan lain, terlengkupkan semula puding ke atas.
10. Hias bulan dan bintang atas puding warna biru. Siap!
Jom nikmati Puding Merdeka bersama keluarga di rumah, masa inilah nak tunjuk semangat patriotik dalam diri.
Selamat Hari Merdeka!
Sumber: thahwatermelon
Baca juga: Kek Minyak Red Velvet Tak Payah Guna Butter, Tetap Lembut Gebu