petua sambal nasi lemak

Petua sambal nasi lemak yang sedap bukan sahaja bergantung pada cili kering yang digunakan, tetapi juga cara memasaknya. Ramai yang mengadu sambal cepat basi, walaupun baru sehari.

Sebenarnya, ada beberapa teknik mudah yang boleh dipraktikkan supaya sambal nasi lemak tahan lama, 4 hingga 5 hari pun masih elok walaupun tidak dimasukkan ke dalam peti sejuk.

Berikut ialah tips lengkap dan resepi sambal nasi lemak istimewa yang boleh anda cuba sendiri di rumah.

Baca juga: Jenis Beras Yang Sedap Untuk Buat Nasi Lemak, Pilih Betul-Betul Baru Puas Hati!

PETUA SAMBAL NASI LEMAK TAHAN LAMA & TAK CEPAT ROSAK

petua sambal nasi lemak

1. Pilih Bawang Merah Besar India

Gunakan bawang merah besar India kerana rasanya lebih manis berbanding bawang besar holland (kulit perang). Kisar dengan sedikit sahaja air supaya tak terlalu cair.

Tip: Asingkan bahan kisar bawang dengan bahan kisar cili kering.

2. Cara Betul Sediakan Cili Kering

  • Gunting cili kering, buang biji.
  • Rebus dalam air mendidih hingga lembut.
  • Toskan, bilas dan toskan sekali lagi.
  • Kisar dengan minyak sahaja, jangan guna air.

Cara ini memudahkan cili dimasak cepat garing dan masak sepenuhnya bila ditumis dalam sambal.

3. Masak Lama dengan Api Kecil

Nak sambal yang cantik berkilat, kena sabar masak lama.

  • Untuk 5-10 orang makan: renih dengan api kecil 1 jam 30 minit hingga 2 jam.
  • Untuk kuantiti besar (80-150 orang): masak 4 hingga 6 jam dengan api kecil.

Ingat, jangan kedekut minyak masa menumis. Minyak berfungsi untuk masakkan sambal sampai cukup masak. Minyak lebihan boleh dikeluarkan kemudian dan digunakan semula untuk goreng mihun, telur atau sambal lain.

4. Guna Gula Melaka Kerek

Jangan guna gula putih. Sebaiknya gunakan gula melaka kerek (atau “nise” bagi orang Kelantan/Terengganu). Selain beri rasa manis seimbang, ia buatkan warna sambal merah berkilat dan nampak lebih menyelerakan.

5. Tambah Bahan Ikut Selera

Ada peniaga suka tambah daun pandan, serai atau halia sebagai identiti sambal mereka. Boleh cuba ikut selera masing-masing.

Resipi Sambal Nasi Lemak Tahan Lama

Bahan-bahan (5-8 orang):

  • 3 biji bawang merah besar India
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 genggam ikan bilis (dibersihkan)
  • 18-20 tangkai cili kering gemuk (direbus & kisar dengan minyak)
  • 2/3 kerek gula melaka
  • ½ sudu makan asam jawa + 2 sudu makan air
  • Minyak masak secukupnya
  • Sedikit garam / serbuk perasa
  • Sedikit air (jika perlu)

Cara-cara:

  1. Kisar bawang merah bersama bawang putih dengan sedikit air, ketepikan.
  2. Kisar ikan bilis hingga halus, ketepikan.
  3. Kisar cili kering rebus menggunakan minyak, jangan guna air.
  4. Panaskan minyak dalam kuali (guna minyak lebih banyak dari biasa). Tumis bahan kisar bawang hingga pecah minyak dan masak betul-betul. Bila sudah naik aroma manis, masukkan kisaran ikan bilis dan masak lagi sehingga keluar minyak.
  5. Masukkan cili kisar. Teruskan memasak sehingga sambal pecah minyak beberapa kali. Proses ini penting supaya sambal lebih tahan lama.
  6. Masukkan gula melaka dan pes asam jawa. Biarkan sambal mereneh lagi dengan api kecil selama lebih kurang 1 jam 30 minit hingga 2 jam.
  7. Akhir sekali, masukkan garam dan serbuk perasa. Sesuaikan rasa ikut cita rasa sendiri. Kalau suka aroma pandan, boleh masukkan simpulan daun pandan di akhir masakan (jangan masukkan awal kerana baunya akan mendominasi sambal).

Tip: Lebihan minyak selepas sambal masak boleh dikeluarkan dan disimpan. Minyak ini sangat sedap digunakan semula untuk menggoreng mihun, telur atau sambal lain.

Kenapa Sambal Ini Boleh Tahan 4-5 Hari?

  • Sambal dimasak lama sehingga betul-betul masak dan pecah minyak.
  • Air digunakan seminimum mungkin ketika mengisar dan memasak.
  • Minyak bertindak sebagai pengawet semula jadi yang melindungi sambal daripada cepat basi.

Hasilnya, sambal bukan sahaja tahan lebih lama, malah lebih sedap dengan gabungan rasa pedas cili, manis bawang, manis gula melaka dan sedikit masam daripada asam jawa.

petua sambal nasi lemak

Bermula Ogos hingga September ini, MyResipi menganjurkan kempen Makan Sini Best bagi mengetengahkan nasi lemak terbaik di sekitar Lembah Klang. Pilihan rakyat, bukan pengkritik.

Calonkan dan undi nasi lemak kegemaran anda di www.myresipi.com/makansinibest dan saksikan siapa yang bakal dinobatkan sebagai juara nasi lemak pilihan rakyat.

Jangan lupa juga untuk hadir ke acara kemuncak pada 9 Oktober 2025 dan jadi antara 100 pengunjung terawal yang berpeluang menikmati nasi lemak percuma serta produk tajaan eksklusif!

Sumber: Facebook

Baca juga: Resipi Nasi Lemak Tanpa Santan, Ganti Guna Susu Cair & Minyak Masak Pun Sedap!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Popular

Artikel Popular

Video Terkini

Restoran Pilihan JJCM

Laura Medina Cafe

Menyajikan "world menu", antaranya sajian Barat, Korea dan tempatan.

Mari Makan

Menyediakan pelbagai masakan Barat dan tempatan.

Restoran Gegey (Shah Alam)

Mula beroperasi sejak tahun 2016, Restoran Gegey menawarkan lima jenis hidangan nasi pada harga dibawah RM8.00!

RESTORAN PILIHAN