Daging tetel antara bahagian daging lembu yang menjadi pilihan ramai kerana mempunyai gabungan isi dan lemak. Apabila dimasak dengan betul, bahagian ini menghasilkan tekstur yang lembut serta kuah yang lebih berlemak dan berperisa.
Namun, salah satu masalah ketika menyediakan daging tetel ialah teksturnya yang liat jika tidak dimasak sehingga betul-betul empuk. Lebih-lebih lagi apabila menggunakan periuk biasa, proses merebus boleh mengambil masa yang agak lama.
Sebenarnya, ada petua yang boleh dicuba untuk melembutkan daging tanpa perlu merebusnya berjam-jam. Antaranya menggunakan teknik 5-30-7 yang memanfaatkan haba dalam periuk untuk meneruskan proses memasak walaupun api sudah ditutup.
Baca juga: Cara Simpan Daun Kari & Daun Masakan Lain, Tak Kecut Walaupun Dah Berbulan!
Petua Lembutkan Daging Tetel Dengan Cepat

Teknik 5-30-7 merupakan kaedah merebus daging menggunakan tiga tempoh masa berbeza, iaitu lima minit merebus, 30 minit merehatkan daging dalam periuk bertutup dan tujuh minit merebus semula.
Kaedah ini boleh dicuba bagi menjimatkan penggunaan gas tanpa memerlukan periuk tekanan tinggi atau pressure cooker. Berikut cara penyediaannya:
- Mula-mula, masukkan air secukupnya ke dalam periuk dan biarkan sehingga mendidih.
- Apabila air sudah mendidih, masukkan daging tetel yang telah dipotong mengikut saiz bersesuaian. Pastikan daging terendam sepenuhnya di dalam air.
- Rebus daging menggunakan api sederhana besar selama lima minit.
- Selepas cukup lima minit, tutup api dapur dan tutup periuk dengan penutup. Biarkan selama 30 minit tanpa membuka penutup supaya haba di dalam periuk tidak keluar.
- Setelah cukup 30 minit, buka semula api dan teruskan merebus daging selama tujuh minit.
- Akhir sekali, periksa tekstur daging untuk melihat tahap kelembutannya. Jika masih liat, teruskan memasak sehingga daging benar-benar empuk.
Tip Supaya Daging Lebih Cepat Empuk
Selain mengikuti teknik merebus yang betul, saiz potongan daging juga perlu diberikan perhatian. Elakkan memotong daging terlalu besar atau tebal kerana ia boleh menyebabkan bahagian dalam mengambil masa lebih lama untuk empuk.
Gunakan periuk yang agak tebal dan mempunyai penutup yang rapat supaya haba dapat terperangkap dengan baik sepanjang tempoh 30 minit.
Paling penting, jangan sesekali membuka penutup periuk ketika proses merehatkan daging sedang berlangsung. Haba yang terperangkap di dalam periuk membantu meneruskan proses memasak walaupun api dapur sudah ditutup.
Walau bagaimanapun, daging tetel mempunyai kandungan tisu penghubung yang berbeza mengikut potongan. Jadi, tempoh 5-30-7 tidak semestinya mencukupi untuk semua jenis daging tetel. Jika masih liat, sambung merebus sehingga mencapai tekstur yang diinginkan.
Dengan cara ini, anda boleh mencuba kaedah merebus yang lebih menjimatkan penggunaan gas tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada pressure cooker.
Sumber: Kuali
Baca juga: Selama Ini Pilih Telur Ikut Saiz Saja, Rupanya Bentuk & Warna Kulit Pun Ada Maksud Tersembunyi!
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

