Media Prima Berhad kekal berdaya tahan dengan mencatatkan hasil RM745.2 juta dan RM27.0 juta keuntungan untuk sembilan bulan yang berakhir pada 30 September 2022.
Meda Prima Raih Peningkatan 15%
Secara kesuluruhannya, Media Prima mencatatkan peningkatan sebanyak 15% berbanding tahun lepas (tempoh terakhir 30 September 2021).
Anak syarikat penyelesaian pemasan, Media Prima Omnia pula catat peningkatan sebanyak 7% berbanding tempoh sebelumnya.
Penyiaran yang diwakili oleh Rangkaian Televisyen Media Prima dan Media Prima Audio turut merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak 9% kepada RM355.1 juta berbanding RM326.0 juta pada tempoh sebelumnya.
Hasil jualan kandungan (content) juga meningkat 58% ke RM45.8 juta berbanding RM29.1 juta pada tempoh sebelumnya.
Rev Media Group Turut Catat Peningkatan
Anak syarikat digital kumpulan, REV Media Group turut mencatatkan kenaikan hasil sebanyak 11% dari RM66.6 ke RM73.8 juta.
Hasil dari segmen pengiklanan luar rumah kumpulan, Big Tree juga meningkat sebanyak 23% dalam tempoh kini berbanding sebelumnya, menunjukkan kenaikan permintaan untuk pengiklanan-luar-rumah.
Kumpulan juga melaporkan keputusannya untuk tiga bulan dalam tinjauan yang berakhir
pada 30 September 2022, merekodkan hasil RM237.2 juta dan Keuntungan Selepas Cukai sebanyak RM6.1 juta.
Hasil pengiklanan kumpulan juga meningkat 4% dalam suku tahun kini berbanding suku tahun sebelumnya yang berakhir pada 30 September 2021.
Raih Jumlah Tontonan Paling Tinggi
Rangkaian Televisyen Media Prima kekal sebagai rangkaian televisyen yang paling tinggi jumlah tontonan, merangkum lebih daripada 39 peratus audiens televisyen Malaysia pada masa kini, menunjukkan peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding tempoh sebelumnya.
TV3 terus menjadi saluran televisyen yang paling ditonton di Malaysia, dengan 25 peratus perkongsian audiens.
Kumpulan komited untuk membawa masuk program yang terbaik untuk penonton Malaysia, menerusi kolaborasi bersama Hunan Broadcasting System, salah satu rangkaian televisyen terkemuka di negara China, untuk bersama-sama menghasilkan dan menyiarkan kandungan yang dihasilkan oleh Hunan di 8TV.
Pada September 2022, REV Media Group telah memperoleh hak milik intelek Tantannews, portal berita sosial popular berbahasa Cina daripada Monster Scape Sdn Bhd, untuk mengembang dan menguatkan capaian dalam kalangan komuniti berbahasa Cina atas talian.
Ini akan memacu perkembangan rangkaian bahasa Cina REV Media Group, termasuk jenama popular seperti ViralCham, Rojaklah, 8TV dan 8FM.
Pengerusi Kumpulan, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, berkata prestasi kewangan Media Prima mencerminkan landskap operasi dinamik yang sedang dihadapi oleh kumpulan.
“Namun begitu, kami mencatatkan hasil yang memberangsangkan, merekodkan keuntungan suku tahunan yang berturut-turut sambil mengekalkan posisi teratas merentasi semua perniagaan.
“Sebagai kumpulan media terkemuka, kami akan kekal optimistik bagi tempoh mencabar yang akan datang. Kami akan fokus untuk menambah baik kecekapan dalaman dan meneliti kos operasi kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, berkata: “Kami berpuas hati dengan sumbangan hasil pengiklanan yang terus mencatatkan pertumbuhan, justeru, mencerminkan populariti jenama kami dalam kalangan pengiklan.
“Namun begitu, pemerhatian kami menunjukkan bahawa kumpulan sedang berhadapan dengan sentimen pengguna yang tidak menentu serta peningkatan persaingan tempatan dan global yang menjejaskan hasil bukan-pengiklanan.
“Kami akan menggunakan kemampuan kami untuk terus maju. Dengan kepelbagaian data di beberapa platform media, kami dapat memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk penilaian yang lebih baik, mendapatkan lebih banyak pendengar, pembaca serta meluaskan capaian digital di masa akan datang.”