Ada makanan yang boleh naikkan nafsu syahwat lelaki dan wanita? Betul tu! Memang ada tau tapi perkongsian ini sesuai dibaca untuk orang yang dah berkahwin sahaja.
Kita selalu dengar tentang ungkapan kehidupan bagaikan roller coaster. Namun, kita tidak sedar keghairahan nafsu syahwat lelaki dan wanita juga seperti roller coaster, ada turun dan naiknya. Ada waktu cukup membara, tapi ada ketika, ‘selera’ pun tak ada.
Baca juga: Profesor Ini Beri Pilihan Makanan Untuk Kurangkan Risiko Hidap Kanser Ovari
Kebiasaannya, faktor hormon menjadi salah satu penyebab perubahan yang berlaku. Jika seseorang itu stress, hormon akan berkurangan dan membuatkan nafsu seks menurun. Selain itu kurang rangsangan, gangguan kepuasan, faktor cemas, trauma, letih serta penggunaan ubat-ubatan juga menjadi faktor yang mempengaruhi keghairahan nafsu seks seseorang wanita.
Mempunyai dorongan nafsu yang sihat dikaitkan dengan rasa sihat dari segi fizikal dan emosi, jadi tidak peliklah kalau makanan yang anda makan memainkan peranan dalam meningkatkan kehidupan seks anda.
Diet yang berkhasiat boleh memberi manfaat kepada kehidupan seks antaranya ialah:
- meningkatkan tahap libido
- meningkatkan aliran darah dan kesihatan jantung
- meningkatkan stamina
Makan diet yang kaya dengan sayur-sayuran dan protein tanpa lemak — dan rendah dalam makanan yang mengandungi gula dan lemak tepu — juga boleh membantu mencegah gangguan yang menjejaskan nafsu seks seperti sindrom metabolik dan keadaan hormon.
Jom kita lihat antara 7 makanan terbaik untuk meningkatkan rasa syahwat, baru rumahtangga makin berseri.
1. Tiram
Makanan laut ini cukup terkenal sejak dahulu lagi sebagai makanan pembangkit ghairah seks. Bagi lelaki, kandungan zink tiram yang sangat tinggi mampu meningkatkan produksi testosteron serta jumlah sperma.
2. Daging
Makan daging, atau makanan lain yang mengandungi asid amino tertentu, boleh membantu meningkatkan kehidupan seks anda.
Pelbagai makanan berprotein tinggi — termasuk daging lembu, ayam, dan daging kambing — mengandungi sebatian yang membantu meningkatkan aliran darah.
Aliran darah yang lancar adalah penting untuk tindak balas seksual pada semua jantina.
3. Ikan Salmon
Salmon terkenal kerana mempunyai asid lemak omega-3 yang menyihatkan jantung. Ia dapat memastikan sistem peredaran darah berfungsi dengan lancar mengurangkan risiko penyakit tertentu yang menjejaskan fungsi seksual.
4. Kekacang dan bijian
Daripada makan gula-gula, anda boleh cuba snek seperti kekacang dan biji. Gajus dan badam penuh dengan zink, manakala pelbagai makanan ringan yang sihat mengandungi L-arginine untuk melancarkan darah anda.
Antara kekacang dan bijian yang boleh dicuba:
- Kacang walnut
- Biji labu
- Biji bunga matahari
- Kacang pecan
- Kacang hazel
- Kacang tanah
5. Epal
Epal kaya dengan sebatian yang dipanggil quercetin. Antioksidan ini, sejenis flavonoid, mungkin menawarkan beberapa manfaat kesihatan. Ada kajian yang melaporkan bahawa quercetin mampu menurunkan tekanan darah pada dos lebih daripada 500 mg sehari.
6. Madu
Kandungan karbohidrat yang ada pada madu mampu menghasilkan tenaga serta bahan bakar untuk otot-otot yang akan bekerja keras. Madu juga kaya dengan vitamin B yang mampu membantu metabolisme tubuh sekali gus membolehkan anda ‘beraksi’ lebih hebat tanpa rasa penat.
7. Pisang
Pisang mengandungi alkaloid yang bekerja di otak untuk meningkatkan keyakinan diri dan rasa ghairah seksual. Pisang juga merupakan sumber potasium dan vitamin B seperti ‘riboflavin’ yang meningkatkan energi tubuh.
Selain itu, ia juga memberikan nutrisi penting untuk kekuatan otot dan sebab itulah jika anda rajin menikmati pisang, tahap ransangan anda akan menjadi sungguh luar biasa!
Semoga bermanfaat!
Sumber: Healthline, Medical News Today