Jika anda berasal dari negeri Perak, pasti cukup mengenali Kuih Limas Perak yang popular di sana. Bentuknya seperti tepung pelita, tapi ada satu perbezaan di antara kedua-dua kuih ini.
Buat pengetahuan anda, perbezaannya adalah pada segi rasa dan penggunaan tepungnya saja. Kuih Limas Perak dibuat dengan tepung gandum, manakala tepung pelita menggunakan tepung beras.
Nak tahu bagaimana rasanya kuih tradisi orang Perak ini, anda boleh buat sendiri di rumah dengan resipi yang dikongsikan oleh Aznie Khasri di Facebook ini. Jom kita cuba!
Baca juga: Kuih Pulut Sekaya ‘Lejen’, Resipi Orang Lama Ini Ada Petua Bagi Berlemak Elok
RESIPI KUIH LIMAS PERAK
Bahan-bahan lapisan hijau:
- 2 cawan tepung gandum
- 1 sudu besar tepung jagung
- 5½ cawan santan (pakai 1 biji kelapa, tambah air dan perah kali kedua)
- 2 sudu besar gula
- 1 sudu kecil pes pandan
- Beberapa helai daun pandan (dikisar dengan santan)
Bahan-bahan lapisan putih:
- 2 cawan santan (perah kali pertama)
- 1 sudu kecil garam
- 2½ sudu besar tepung gandum
Cara-cara membuat:
1. Bagi menyediakan lapisan hijau, mula-mula gaul sebati semua bahannya.
2. Kemudian, masukkan dalam kelongsong daun pisang atau apa-apa saja acuan.
3. Selepas itu, kukus dalam 5 hingga 10 minit.
4. Bagi menyediakan lapisan putih, gaul sebati semua bahannya juga.
5. Seterusnya, masukkan di atas lapisan hijau yang telah dikukus tadi.
6. Akhir sekali, kukus semula dalam 5 hingga 7 minit atau sehingga masak. Setelah sejuk, bolehlah hidang. Siap untuk dinikmati!
Kuih Limas Perak ini sebenarnya sedap dimakan sejuk-sejuk, tapi nak nikmatinya secara hangat pun boleh dan ia sangat sesuai dijadikan sebagai hidangan minum petang untuk keluarga tersayang.
Kuih Limas Perak agak susah dijumpai terjual di luar kecuali di negeri Perak, tapi dengan resipi ini dapatlah anda membuatnya dengan air tangan sendiri di rumah.
Selamat mencuba!
Sumber: Aznie Khasri
Baca juga: Resepi Kuih Limas, Macam Tepung Pelita Tapi Beza Satu Bahan Saja