Jika mempunyai banyak lebihan bihun di dapur yang masih tak digunakan, anda boleh buat Kuih Bihun yang manis dan rangup tau.
Bihun, mihun atau mi siam (di Selatan Malaysia) merupakan nama salah satu jenis makanan dari China yang berbentuk seperti mi namun lebih tipis.
Bahan bihun sendiri dibuat daripada tepung beras dan makanan ini sangat terkenal dari negara China hingga sejauh kawasan Asia Selatan termasuk India.
Buat anda yang nak habiskan sisa bihun di dapur, boleh cuba resipi Kuih Bihun yang dikongsikan oleh Pn Izan Musa di Facebook yang cukup mudah ini.
Baca juga: Kuih Cara Manis Versi Jagung, Lembut Dan Lemak Manis Tetap Rasa Klasik
RESIPI KUIH BIHUN
Bahan-bahan:
- 1 bungkus bihun (patah-patahkan)
- 2 cawan gula (jika tak nak manis, boleh kurangkan)
- Sedikit garam
- Pewarna
- 1 cawan air
- 1 paket minyak masak
Cara-cara membuat:
1. Campurkan gula, garam, pewarna dan air, kemudian masak sehingga pekat. Guna periuk besar supaya senang gaul dengan bihun nanti.
2. Selepas itu, masukkan bihun dan gaul sebati. Setelah siap, toskan. Masukkan ke dalam talam atau tray, kemudian rata-ratakan. Biarkan sejuk dan kering.
3. Panaskan minyak masak sehingga betul-betul panas.
4. Guna penapis besi, letak sejemput bihun, celup dan minyak panas. Setelah kembang, cepat-cepat angkat. Guna penyepit, kepit bihun itu dan masukkan dalam cawan. Kemudian, ambil 1 cawan lagi (cawan yang sama saiz) dan tekap kuat-kuat.
5. Bihun akan melekat semasa panas saja. Jika sudah sejuk, memang takkan melekat dah.
6. Ulang sehingga adunan habis. 1 bungkus bihun boleh dapat 60 hingga 70 biji mengikut saiz acuan cawan. Siap untuk dinikmati!
Selalu nampak Kuih Bihun ini di kenduri saja, tapi setelah tahu resipi ini, bolehlah cuba buat sendiri di rumah.
Kuih Bihun yang manis dan rangup ini sesuai dijadikan sebagai snek enak di rumah dan semestinya anda takkan berhenti mengunyah nanti.
Selamat mencuba!
Sumber: Pn Izan Musa
Baca juga: Resepi Kuih Peneram Yang Lazat, Ada Tips Supaya Elok Kejadiannya