Mungkin ramai yang tidak mengetahui khasiat terung pipit jika diamalkan dalam pemakanan seharian. Terung pipit ini mempunyai 1001 manfaat untuk kesihatan tubuh badan.
Terung pipit ini dipercayai berasal dari Amerika Tengah dan Selatan. Kemudiannya, mulai ditanam di Asia, Afrika dan kepulauan Carribean. Ia juga digunakan secara meluas sebagai makanan dan ubat tradisional di seluruh dunia.
Baca juga: Bukan Saja Penyedap Makanan, Ini Khasiat Minyak Sapi Yang Ramai Tak Tahu
KHASIAT TERUNG PIPIT (PERUBATAN TRADISIONAL)
Untuk pengetahuan anda, terung pipit telah digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat pelbagai masalah kesihatan sejak sekian lama. Antaranya adalah:
- Merawat kayap: Caranya adalah dengan mengambil daun terung pipit dan dilumatkan bersama daun cili. Kemudian, ia dijadikan ubat pupuk pada kulit yang mempunyai kayap.
- Mencegah penyakit darah tinggi: Caranya adalah dengan mengamalkan memakan buah terung pipit yang dicelur sebagai ulam.
- Mengubati cacing dalam perut kanak-kanak: Caranya adalah dengan merebus daunnya dan air rebusan tersebut digunakan sebagai mandian.
- Merawat resdung: Caranya adalah dengan mengeringkan daun segar, kemudian digulung seperti rokok lalu dihisap dan asapnya dihembus melalui hidung.
- Meransang tenaga batin: Caranya adalah dengan mengamalkan memakan buah terung piput sebagai ulam atau dicelur dan dicicah dengan sambal.
- Merawat tumit kaki pecah: Caranya adalah dengan mengambil akar pokok terung pipit dan ditumbuk. Apabila airnya keluar, ambil air tersebut dan sapu pada tumit kaki yang pecah.
KHASIAT TERUNG PIPIT (KAJIAN MODEN)
Selain khasiatnya yang pelbagai dalam perubatan tradisional, kajian juga telah dijalankan oleh penyelidik-penyelidik untuk mengetahui khasiat terung pipit dari sudut sains perubatan.
Berikut merupakan beberapa khasiatnya:
1. Mencegah Tekanan Darah Tinggi
Berdasarkan kajian moden, terung pipit didapati dapat membantu mencegah tekanan darah tinggi atau hipertensi.
Difahamkan juga, ekstrak etanol dalam terung pipit boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dan membalikkan perubahan metabolik yang disebabkan oleh fruktosa.
2. Menurunkan Paras Gula Dalam Darah
Memakan terung piput juga boleh membantu menurunkan paras gula dalam darah terutamanya buat mereka yang menghidap penyakit kencing manis.
Berdasarkan kajian terhadap haiwan yang menghidap diabetes, ekstrak metanol dalam terung pipit yang diberikan selama 30 hari berjaya menurunkan paras gula haiwan tersebut sehingga 42%.
3. Kaya Dengan Antioksidan
Antioksidan adalah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan dari tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif ini sering dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, kencing manis, kanser atau Alzheimer.
4. Merawat Jangkitan Yis Pada Faraj Wanita
Jangkitan yis pada farah wanita biasanya disebabkan oleh kulat atau fungi spesis Candida albicansa. Turut dikenali sebagai vaginal candidiasis.
Gejala-gejalanya adalah kegatalan pada faraj, luka, sakit semasa hubungan kelamin, sakit ketika membuang air kecil dan keluar lelehan dari faraj yang tidak normal.
Terdapat kajian mendapati ekstrak etanol dalam terung pipit menunjukkan aktiviti-aktiviti antikulat terhadap kulat Candida albicansa.
5. Mengubati Ulser Perut
Ulser perut adalah luka terbuka yang terbentuk pada lapisan perut. Ia juga boleh berlaku di dalam usus yang berdekatan dengan perut.
Antara gejala-gejalanya seperti sakit perut, sembelit, pedih hulu hati atau hilang selera makan.
Kajian turut mendapati bahawa ekstrak daun terung piput boleh mencegah pembetukan ulser perut. Ekstrak tersebut juga dipercayai dapat meningkatkan penghasilan mukosan dan mengurangkan perembesan asid gaster.
6. Bersifat Antibakteria
Selain itu, daun terung piput juga dipercayai mempunyai sifat antibakteria terhadap pelbagai varian bakteria Staphylococcus termasuklah yang mempunyai ketahanan terhadap antibiotik.
Jika tidak dirawat, bakteria-bakteria ini juga boleh menyebabkan pelbagai jangkitan seperti jangkitan pada kulit, saluran darah, sepsis dan termasuklah kematian.
7. Merawat Keracunan Kadmium
Keracunan kadmium sangat bahaya kerana boleh menyebabkan kerosakan pada organ-organ dalaman manusia seperti hati dan buah pinggang.
Mereka yang berisiko tinggi untuk keracunan kadmium ialah pekerja-pekerja industri pengilangan dan pembinaan. Hal itu kerana mereka mungkin terdedah semasa peleburan dan penapisan logam, pembuatan bateri, plastik, salutan dan panel solar.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak terung piput boleh mengurangkan kerosakan pada hati dan buah pinggang.
Kesimpulan
Walaupun terung pipit bersaiz kecil, namun ia mempunyai banyak khasiat. Bukan sahaja buah, malah daunnya juga mempunyai khasiat yang tersendiri.
Oleh itu, tidak salah jika anda menjadikan terung ini sebagai amalan dalam pemakanan, tidak kira sebagai ulam atau sayur kerana ia mempunyai 1001 manfaat!
Sumber rujukan: JiwaSihat
Baca juga: Bukan Saja Penyedap Makanan, Ini Khasiat Minyak Sapi Yang Ramai Tak Tahu