jenis durian

Musim durian sudah tiba! Terdapat pelbagai jenis durian yang boleh didapati di Malaysia. Tetapi harga yang dijual berbeza mengikut jenisnya. Rupanya ada sebab kenapa ada yang mahal, ada yang murah. 

Jom kenali 5  jenis durian terbaik yang menjadi kegilaan rakyat Malaysia menurut Durian Bear ini.

Kami kongsikan juga tip yang boleh anda praktikkan untuk elak ditipu penjual buah durian yang tidak bertanggungjawab.

Baca juga: Tip Pilih Durian BANYAK Isi, Baru Rasa Berbaloi Nak Beli!

Maklumlah, harga buah durian sekarang boleh tahan juga. Jadi, kena pilih yang setanding dengan harga! Barulah berbaloi.


TOP 5 JENIS DURIAN POPULAR DI MALAYSIA

1. Durian Musang King (D197)

jenis durian

Inilah durian idaman pencinta ‘raja buah’ iaitu Musang King.

Durian asli Musang King mempunyai isi berwarna kuning keemasan dengan tekstur yang lembut dan berkrim. Isi durian ini juga lebih tebal, berkilat dan berbiji kecil berbanding durian lain.

Rasa: Lemak manis, sedikit pahit, buttery, aroma yang kuat

Tips: Mempunyai bentuk lebih bujur seperti bola ragbi, kulit hijau muda, duri berbentuk seperti piramid kecil, bahagian bawah buah mempunyai corak garisan seakan-akan bintang yang ketara.

2. Durian Udang Merah (D175)

Berasal dari Balik Pulau, durian baka kahwin ini menghasilkan isi berulas halus, berwarna kuning jingga kemerahan dan setiap biji mempunyai lapisan krim yang sangat menyelerakan. Jenis durian ini yang berkualiti tinggi agak sukar ditemui, menyebabkan harganya kadangkala lebih mahal daripada Musang King.

Durian ini juga ditanam di negeri Pahang dan Johor, tetapi rasanya tidak sama seperti Udang Merah Pulau Pinang yang asli. Kebiasaannya berkulit coklat perang, durian ini berbentuk bujur, berduri pendek, dan agak susah dikupas kerana berkulit tebal dan keras.

Rasa: Berlemak manis, melekit, halus dan lembik, aroma yang menyelerakan

Tips: Kulit Udang Merah yang berwarna hijau keperangan dikatakan ditanam di luar Pulau Pinang. Untuk memilih Udang Merah yang terbaik, pastikan beratnya dalam 1 kg sebiji.

3. Durian Kampung (888)

Dalam lautan pelbagai jenis durian hibrid yang mencuri perhatian, masih ramai yang setia menikmati durian ini kerana ia paling mudah dijumpai dengan harga termurah.

Durian paling original ini terhasil dari pokok tunggal yang berusia ratusan tahun. Walaupun isinya agak padat, rasa durian kampung yang asli tidak konsisten sama sekali — ada yang pahit, ada yang manis. Senang cerita, ikut nasib.

Rasa: Manis (seperti vanilla), pahit atau tawar, tidak konsisten dan berbeza

Tips: Durian kampung Gred A mempunyai berat lebih dari 1.5 kg sebiji (RM15 – RM18 per kg), Gred B kurang 1 kg (RM 10 per kg), dan Gred C untuk membuat tempoyak (3 biji RM10).

4. Durian Duri Hitam / Black Thorn (D200)

Dikatakan jauh lebih enak daripada Musang King yang overrated, durian premium dari Sungai Bakap, Pulau Pinang ini semakin menjadi buruan “hantu durian”.

Bergantung kepada usia pokok tersebut, isinya yang lebih bulat berbanding durian lain juga mempunyai variasi warna berbeza, daripada jingga pastel seakan-akan merah jambu, hingga jingga terang.

Walaupun isi tidak setebal Musang King, keunikan rasa lemak manis Black Thorn yang menyelerakan pasti membuat setiap penggemar durian termimpi-mimpi! Sekarang, harga Black Thorn yang berkualiti bermula sekitar RM60 per kg dan boleh mencecah RM105 per kg.

Rasa: Sangat berkrim, berlemak manis dengan aftertaste pahit, aroma kurang tajam

Tips: Juga digelar Ochee, Duri Hitam atau Hei Tze, bentuk durian ini berbeza mengikut musim dan kawasan tanaman. Kebiasaannya, ia berbentuk bulat, bertapak rata, bertangkai kecil (kira-kira sebesar ibu jari), dan bahagian bawahnya mempunyai lingkaran hitam dengan titik kecil tanpa duri.

5. Durian Sultan (D24)

D24 atau durian Sultan mudah untuk dikenalpasti dan ditemui. Ia berbentuk bulat, mempunyai duri yang lebih tirus dan tajam, dengan susunan duri-duri halus yang rapat di keliling tangkai. Di bahagian bawah buah ini terdapat bulatan berwarna coklat seperti serpihan dari bunga.

Berwarna kuning pucat, isinya mempunyai tekstur tebal dan lembut. Dengan harga berpatutan (dari RM19 per kg), ia juga selalu dihidang dalam bufet durian. D24 mampu memberi kepuasan setanding durian premium jika anda pandai memilih.

Rasa: Sangat berlemak, sederhana manis dan pahit, aroma sederhana kuat

Tips: Kulit durian Sultan D24 berwarna hijau muda, nipis dan mudah dikupas. Biasanya, satu pangsa beris dua atau tiga ulas.


Semoga bermanfaat!

Baca juga: Woody Harrelson ‘Selamba’ Je Buat Durian Goreng Untuk Sarapan, Netizen Ternganga Kejap

Resipi Popular

Artikel Popular

Video Terkini

Restoran Pilihan JJCM

Laura Medina Cafe

Menyajikan "world menu", antaranya sajian Barat, Korea dan tempatan.

Mari Makan

Menyediakan pelbagai masakan Barat dan tempatan.

Restoran Gegey (Shah Alam)

Mula beroperasi sejak tahun 2016, Restoran Gegey menawarkan lima jenis hidangan nasi pada harga dibawah RM8.00!

RESTORAN PILIHAN