Program realiti memasak popular, Dapur Tempur terbitan TV9 kembali lagi, tetapi kali ini dengan edisi Dapur Tempur Selebriti yang menampilkan barisan selebriti bersama ahli keluarga mereka yang akan berentap untuk merebut gelaran juara.
Dapur Tempur Selebriti kali ini menjanjikan pertempuran yang lebih meriah dan mencabar bersama lapan pasangan duo keluarga selebriti. Episod pertama bakal menemui penonton mulai 18 November ini, setiap Sabtu, jam 8.30 malam hanya di TV9.
Antara selebriti terlibat ialah Achey dan Anne (suami isteri), Ain Edruce dan Amirul (suami isteri), Shuib dan Watie (suami isteri), Bella Astillah dan Mama Ina (ibu dan anak), Didie Alias dan Diyana (ibu dan anak), Wani Kayrie dan Mama Kay (ibu dan anak), Siti Sairah dan Mohd Edane (suami isteri) serta Lan Solo dan Sheila (suami isteri).
Program ini dihoskan oleh seorang selebriti yang petah bercakap dan ceria iaitu Fiza Frizzy serta menggandingkan Cef Naem dan Michael Ang sebagai juri.
Kebiasaanya Dapur Tempur akan menguji peserta untuk menyediakan menu tradisi atau masakan Melayu tetapi untuk edisi kali ini, setiap pasangan perlu menyediakan hidangan bertemakan masakan barat. Mereka juga akan diberi kejutan dengan cabaran-cabaran yang misteri.
Baca juga: Dapur Tempur 2023 Kini Berwajah Baharu, Selebriti Popular Bakal Buat ‘Havoc’
Episod pertama pun dah kecoh & kalut?
Bagi episod pertama yang bakal disiarkan, dua pasangan keluarga yang akan bertempur ialah Achey dan isterinya, Anne serta Ain Edruce dan suaminya, Amirul.
Seperti yang kita semua tahu, kedua-dua pasangan ini sering mencuit hati rakyat Malaysia dengan video mereka yang melucukan. Kali ini dalam Dapur Tempur Selebriti, mereka sekali lagi akan menghiburkan anda dengan kekecohan di ruang dapur walaupun tidak mahir dalam bidang masakan!
Salah seorang selebriti tidak mengenali bahan masakan sehingga tersalah ambil bahan yang tidak sepatutnya. Mereka turut menimbulkan keriuhan kerana menggoreng telur sehingga dapur berasap. Bukan itu saja, sudip yang digunakan untuk menggoreng juga menjadi cair. Memang bikin kecoh!
Seperti program masakan lain, pasti ramai yang tertunggu-tunggu apakah reaksi juri. Katanya juri terkejut dan keliru apabila salah satu pasangan menggunakan sebatang rosemary sebagai hiasan di atas pinggan. Alamak, biasanya dipetik sehelai dua saja!
Untuk mengetahui pasangan manakah yang menimbulkan huru-hara itu, jangan lupa menonton Dapur Tempur Selebriti di TV9. Dapatkan juga perkembangan terkini di www.myresipi.com selaku Rakan Digital Rasmi.