
Cencaru sumbat memang antara lauk kampung yang cukup menyelerakan. Ikan yang digoreng garing kemudian diisi sambal pedas manis, ditambah pula aroma serai yang wangi, memang boleh buat nasi bertambah.
Rahsia keenakan hidangan ini sebenarnya terletak pada sambalnya. Menurut perkongsian Nor Hafizah Ismail di Facebook, sambal perlu dimasak sehingga pekat sebelum disumbat ke dalam ikan supaya lebih mudah kekal di dalam dan tidak bersepah ketika digoreng.
Baca juga: Cara Buat Tauhu Sumbat Dengan Sos Cili Homemade, Inti Rangup Memang Buat Tak Cukup Satu
RESIPI CENCARU SUMBAT SAMBAL

Sambal untuk resipi ini menggunakan bahan yang mudah sahaja. Gabungan cili padi, bawang, serai dan sedikit belacan menghasilkan inti yang pedas, wangi dan cukup berperisa.
Bahan-Bahan:
Untuk sambal sumbat:
- 1 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 8 biji cili padi
- 2 batang serai
- Sedikit belacan
- 2 sudu besar cili kisar
- Sedikit air
- Gula secukup rasa
- Garam secukup rasa
- Sedikit serbuk perasa
- Sedikit air asam jawa
Bahan utama:
- Ikan cencaru secukupnya
- Daun pandan secukupnya untuk mengikat
Cara-Cara Penyediaan:
1. Bersihkan ikan cencaru dan buat belahan untuk memasukkan sambal. Ketepikan.
2. Kisar kasar bawang merah, bawang putih, cili padi, serai dan sedikit belacan.
3. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bahan yang dikisar sehingga masak dan bertukar kekuningan.
4. Masukkan 2 sudu besar cili kisar, kemudian kacau hingga sebati.
5. Tambahkan sedikit air dan biarkan sambal terus dimasak.
6. Masukkan gula, garam dan sedikit serbuk perasa mengikut citarasa.
7. Tuangkan sedikit air asam jawa dan kacau sebati.
8. Masak sambal sehingga benar-benar pekat dan menjadi seperti pes.
9. Tutup api dan biarkan sambal sejuk terlebih dahulu.
10. Selepas sambal sejuk, masukkan secukupnya ke dalam ikan cencaru.
11. Kemaskan ikan dan ikat menggunakan daun pandan supaya bahagian yang berisi sambal lebih tertutup.
12. Biarkan seketika sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.
13. Panaskan minyak dan goreng ikan sehingga masak serta garing.
14. Angkat dan toskan minyak sebelum dihidangkan.
TIPS SUPAYA INTI CENCARU SUMBAT TAK TERKELUAR
Masalah sambal terkeluar ketika menggoreng memang boleh berlaku jika inti terlalu cair atau ikan terus dimasukkan ke dalam minyak selepas disumbat. Beberapa petua ini boleh membantu.
1. Masak Sambal Sampai Jadi Pes
Jangan gunakan sambal yang masih berair. Masak sehingga sambal menjadi pekat dan teksturnya seperti pes.
Sambal yang pekat lebih mudah disumbat ke dalam ikan dan tidak mudah mengalir keluar ketika terkena minyak panas.
2. Sejukkan Ikan Selepas Disumbat
Selepas sambal dimasukkan ke dalam ikan, jangan terus goreng. Biarkan seketika kemudian masukkan ikan ke dalam peti sejuk.
Petua ini membantu menjadikan inti lebih pejal sebelum ikan digoreng.
3. Gunakan Daun Pandan Untuk Mengikat
Ikan yang sudah disumbat boleh diikat menggunakan daun pandan bagi membantu menahan sambal daripada terkeluar.
Pada masa yang sama, daun pandan juga boleh memberikan aroma wangi yang lebih menarik pada ikan.
SAMBAL CENCARU SUMBAT KENA PEDAS, MANIS DAN WANGI
Menurut perkongsian Nor Hafizah Ismail, sambal yang digunakan untuk hidangan ini perlu mempunyai rasa pedas dan manis yang seimbang.
Aroma serai pula menjadi antara tarikan utama. Setiap gigitan ikan bersama sambal akan terasa harum dan menyelerakan, terutama apabila ikan digoreng sehingga garing.
Tidak hairanlah hidangan ini boleh membuatkan lauk cepat habis. Ikan cencaru yang rangup di luar, kemudian dipenuhi sambal pedas manis di dalam, memang padanan yang susah hendak ditolak.
Kalau selalu berdepan masalah inti terkeluar ketika membuat cencaru sumbat, cuba petua paling penting ini: pastikan sambal dimasak sehingga pekat, sejukkan ikan yang sudah disumbat dan ikat dengan daun pandan sebelum digoreng.
Selamat mencuba!
Sumber: Nor Hafizah Ismail
Baca juga: Ayam Masak Merah Utara Stail Kenduri, Kuah Pekat Berlemak Buat Nasi Minyak Makin Sedap
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














