Selain sotong dan udang, peminat makanan laut seharusnya tak ketinggalan untuk sesekali mencuba cara masak Kupang Goreng Kunyit di rumah.
Kupang dikenali juga sebagai siput sudu, merupakan sejenis kerang yang boleh dimakan dan boleh dijumpai di kawasan air tawar seperti tasik dan sungai serta kawasan pasang surut di pinggir laut seluruh dunia.
Cara masak kupang sebenarnya sangat mudah, tapi ramai yang berdepan dengan masalah seperti bau yang hanyir dan berpasir. Oleh itu, anda perlu merebusnya dahulu.
Wanita yang mesra dengan panggilan SA telah kongsikan cara masak Kupang Goreng Kunyit yang cukup mudah untuk anda ikuti melalui blognya. Jom kita cuba!
Baca juga: Sotong Goreng Kunyit Berkuah, Rupanya Ramai Lebih Suka Versi Macam Ini!
CARA MASAK KUPANG GORENG KUNYIT
Bahan-bahan:
- 1 genggam kacang buncis (potong pendek)
- 100 g isi kupang (rebus)
- ½ batang lobak merah (potong panjang)
- ½ biji bawang Holland (hiris tebal)
- 1 biji cili merah (potong serong)
- 2 ulas bawang putih (hiris nipis)
- ½ biji bawang merah (hiris tebal)
- Serbuk kunyit
- Garam
- Serbuk cukup rasa
- Minyak secukupnya
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, kena rebus and keluarkan isi kupang, kemudian sejuk bekukan. Apabila nak masak, letakkan di chiller untuk defrost.
2. Selepas itu, lumurkan isi kupang dengan sedikit serbuk kunyit.
3. Kemudian, panaskan kuali bersama minyak. Tumis hirisan bawang merah, bawang putih dan bawang Holland.
4. Setelah naik baunya, barulah masukkan isi kupang. Masak dalam 2 minit baru masukkan sayur kacang buncis, lobak dan cili merah.
5. Seterusnya, masak sehingga kacang buncis dan lobak agak lembut.
6. Akhir sekali, perasakan dengan sedikit garam dan serbuk cukup rasa. Setelah rasa sudah sebati, boleh tutup api. Siap untuk dihidang!
Walaupun cara masak Kupang Goreng Kunyit ini seperti resipi campak-campak, namun hasilnya pasti buatkan keluarga anda yang suka makanan laut berselera memakannya.
Selamat mencuba!
Sumber: Suria Amanda
Baca juga: Resepi Ayam Goreng Kunyit Basah, Hirup Kuahnya Makin Berselera