Entri hari ini kami kongsikan resipi ayam masak kasturi yang cukup ringkas tetapi lazat. Kalau buat menu ini, cukup dari makan tengah hari hingga ke malam!
Menu ini menggunakan bahan asas yang mudah didapati dan langkah memasak yang cepat. Sesuai untuk ibu-ibu yang sibuk tetapi mahu sediakan juadah yang lazat untuk keluarga.
Dalam resipi ini juga, anda boleh laraskan kuantiti santan mengikut kepekatan kuah yang diinginkan. Selain itu, jika anda suka rasa yang lebih masam, tambahkan sedikit lagi air asam jawa.
Jom baca resipi penuh di bawah ini.
Baca lagi: Cara Masak Nasi Kuning Terengganu, Resipi Lengkap Dengan Lauk Sampingan Lain
RESIPI AYAM MASAK KASTURI
Bahan-bahan
Ayam Goreng:
- 1 ekor ayam, dicuci bersih
- Garam secukup rasa
- Serbuk kunyit secukup rasa
Bahan-Bahan Kisar Halus:
- 2 labu bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- Sedikit kunyit hidup
- 6 biji cili padi
- 2 biji cili merah
- Sedikit lada biji
- 1 batang kulit kayu manis
- 2 kuntum bunga lawang
Bahan Tambahan:
- 1 cawan santan pekat
- 1 sudu besar susu pekat
- Garam dan gula secukup rasa
- 2 biji buah pelaga
- Sedikit air asam jawa atau 1 keping asam gelugur
- Cili merah, dihiris serong (untuk hiasan)
- Daun limau purut (untuk aroma)
Cara penyediaan
1. Bersihkan ayam dan gaul rata dengan garam dan serbuk kunyit. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng ayam hingga separuh masak. Angkat dan ketepikan.
2. Dalam kuali yang sama, dengan minyak gorengan ayam tadi, tumiskan bahan-bahan kisar bersama buah pelaga dan sedikit air. Masak hingga bahan tumisan mengeluarkan aroma harum dan minyak mula terbit di permukaan.
3. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi ke dalam kuali bersama santan pekat, susu pekat, garam, sedikit gula, dan air asam jawa atau asam gelugur. Tambahkan sedikit air jika perlu, dan gaul rata.
4. Biarkan masakan mendidih dan renehkan hingga kuah menjadi sederhana pekat iaitu tidak terlalu cair atau terlalu pekat. Biarkan semua bahan sebati dan ayam masak sepenuhnya.
5. Akhir sekali, masukkan hirisan cili merah dan daun limau purut untuk menaikkan aroma. Masak seketika sehingga cili merah sedikit layu.
6. Ayam Masak Kasturi sedia untuk dihidangkan. Hidangkan bersama nasi panas untuk menikmati hidangan yang menyelerakan ini.
Sumber: Wo-aini Crafter, Naura Aisya Aryan
Baca lagi: Resipi Nasi Ayam Thai Paling Pantas, Mudahnya Masak Nasi & Ayam Sekali!