Sesiapa yang baru kali pertama dengar tentang Ayam Masak Burma dan belum pernah membuatnya sebelum ini, kami nak kongsikan resipi menarik untuk anda cuba di rumah.
Ayam Masak Burma lebih kurang sama seperti masakan kari dan rendang, cuma hidangan lauk ini tak menggunakan santan untuk membuatnya.
Seperti perkongsian resipi Ayam Masak Burma oleh Aziah Nima di Facebook, lauk ini sangat mudah dan ringkas serta sesuai dimakan dengan apa pun yang disukai. Jom kita cuba!
Baca juga: Resepi Ayam Masak Cabai, Ikut Cara Orang Dulu-Dulu Ini Dapat Aroma Luar Biasa!
RESIPI AYAM MASAK BURMA
Bahan-bahan:
- ½ ekor ayam (nak seekor pun terpulanglah, boleh tambah lagi bahan kisar)
- 3 sudu besar sos tiram
- 1 sudu setengah serbuk kunyit
- 1 sudu besar serbuk kari daging
- Daun pudina (ikut suka nak letak banyak mana)
- 1 biji tomato (belah 4 atau 6)
- 1 biji kentang
- Garam atau gula secukup rasa (saya tak letak gula)
- 1 ketul kiub ayam
Bahan-bahan kisar:
- 2 biji bawang besar
- 5 ulas bawang putih
- Halia sebesar ibu jari (pandailah agak-agak saja)
- 5 biji cili merah
- 10 biji cili padi (jika taknak pedas, boleh kurangkan, saya tak kisar sebab anak tak makan pedas, jadi saya letak sebiji-sebiji jika nak pedas biasa saja)
- 2 batang serai
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, potong ayam ikut suka, basuh dan toskannya.
2. Kemudian, perap ayam dengan sos tiram dan serbuk kunyit selama 10 minit atau setengah jam.
3. Sementara itu, tumis semua bahan kisar sampai pecah minyak.
4. Seterusnya, masukkan serbuk kari, kiub ayam dan tumis sekejap.
5. Selepas itu, masukkan ayam yang sudah diperap tadi dan biarkan ayam sedikit kecut.
6. Selanjutnya, masukkan kentang dan air (agak-agak saja, jangan cair sangat).
7. Apabila kentang sudah empuk dan ayam agak-agak nak masak, masukkan tomato dan daun pudina.
8. Akhir sekali, perasakan dengan garam dan gula, kemudian renehkan kejap dan tutup api. Siap untuk dihidang!
Selain dimakan bersama nasi putih, Ayam Masak Burma juga merupakan salah satu lauk untuk dinikmati dengan pulut kuning. Jika makan dengan roti jala, lagilah bertambah sedap.
Selamat mencuba!
Sumber: Aziah Nima
Baca juga: Resepi Ayam Masak Lemak Jawa, Lauk ‘Next Level’ Yang Mak-Mak Wajib Cuba!