Apabila tekak teringin makan aiskrim, terpaksa keluar ke kedai untuk membelinya. Jadi, tak hairanlah ramai mak-mak yang mencari resipi Aiskrim Homemade Mudah untuk buat sendiri di rumah.
Maklumlah ada anak yang suka makan. Setiap kali selepas pulang dari sekolah, mesti meminta punya. Kalau tak beri, merajuk pula nanti. Pening mak-mak nak memujuknya.
Tak dinafikan aiskrim sentiasa menjadi pencuci mulut yang paling disukai ramai. Bukan saja kanak-kanak, malah orang dewasa juga sukakannya. Anda juga pasti salah seorang darinya.
Senang cerita, tiada orang yang akan katakan tidak kepada aiskrim. Lebih-lebih lagi kalau cuaca panas. Nak hilangkan rasa tekak yang kering ketika itu, semestinya aiskrim adalah pilihan terbaik.
Apa yang bagusnya makan aiskrim ini sebenarnya ia boleh menaikkan mood seseorang. Anda boleh lihat sendiri bagaimana perasaan anak apabila diberikan aiskrim. Mereka akan gembira tak terkata.
Baca juga: Aiskrim Cheese Indulgence, Confirm Sedap Dan Laku Keras
RESIPI AISKRIM HOMEMADE MUDAH
Bahan-bahan:
- 5 hingga 6 biji pisang
- Satu cawan buah strawberry
- Satu cawan yogurt plain
Cara-cara:
1. Pisang dan strawberries perlu dibekukan terlebih dahulu.
2. Kisar pisang, strawberry, yogurt dan sedikit madu dengan menggunakan food processor. Kalau tak ada food processor, guna blender pun boleh tapi kena buat sikit-sikit.
3. Kemudian masukkan ke dalam bekas. Boleh tambahkan potongan buah strawberry dalam adunan.
4. Bekukan kisaran aiskrim semula dalam masa lebih kurang 2 hingga 4 jam. Siap!
Sekejap saja sudah siap Aiskrim Homemade Mudah ini. Caranya sangat ringkas bukan? Anda boleh mengajak anak anda membuatnya bersama di rumah.
Secara tak langsung, anak anda akan tahu cara membuatnya sendiri. Jika mereka teringin untuk membuatnya, pastikan anda memantaunya sepanjang masa.
Ada pelbagai cara untuk menikmati aiskrim ini. Anda boleh makan ia bersama roti, biskut, waffle dan sebagainya. Paling seronok kalau ada kon aiskrim. Selamat mencuba!
Sumber: Widyana Ali