Pasangan pengantin baru-baru ini telah menarik perhatian netizen, kerana mengunakan barangan dapur sebagai hantaran perkahwinan bersama suaminya. Perkongsian video tersebut telah mendapat banyak tontonan.
“Saya tidak menganggap idea untuk menyediakan hantaran perkahwinan berupa barangan keperluan asas ini sebagai sesuatu yang ‘gila’, sebaliknya ia memudahkan dan menjadi satu simbolik kepada minat saya dalam memasak,” kata Siti Masnida Abdul Malek.
BARANGAN DAPUR DIJADIKAN HANTARAN, BAJET TAK SAMPAI RM150
Beliau dan suaminya, Mohd Yusri Md Yunus, telah disatukan pada 31 Disember yang lalu dengan bertukar dulang hantaran yang terdiri daripada barangan dapur seperti cili, gula, garam, ikan sardin, minyak masak, bawang, halia, telur, rempah ratus, dan pes perencah tomyam.
Baca juga: Senarai Makanan Diiktiraf Sebagai Warisan Negara Selain Bak Kut Teh
Menurut laporan Harian Metro, pemilihan barangan tersebut merupakan idea dari Siti Masnida dan mendapat sokongan daripada keluarga mereka, selain daripada mengakui bahawa semua barangan tersebut disediakan dengan bajet yang kurang daripada RM100 bagi setiap pihak.
Pengantin Perempuan Inginkan Kelainan
Difahamkan bahawa pada mulanya, suaminya ingin memberikan barangan hantaran seperti minyak wangi, beg tangan, jam, dan kasut, namun perkara tersebut tidak menjadi keutamaan kerana dia sudah memiliki semua barangan tersebut.
“Hantaran perkahwinan ini dibuat bukan kerana kami tidak mampu, tetapi saya ingin sesuatu yang berbeza mengikut kehendak saya. Saya bukan seorang yang suka menggunakan banyak barang, dan saya suka memasak, itulah sebabnya kami memilih barangan dapur.
“Idea tersebut datang seminggu sebelum majlis dan kami membeli barangan untuk pihak lelaki dengan kos sebanyak RM85 untuk lima dulang hantaran, manakala saya memilih tujuh dulang dengan kos kurang daripada RM50 sahaja kerana sebahagian barangan seperti bawang telah diambil dari rumah,” katanya.
Siti Masnida berkata, kelebihan memilih barangan tersebut tidak hanya memuaskan hatinya, tetapi juga menjimatkan kos, dan seterusnya memberi mereka tambahan wang untuk berbulan madu di Sabah tidak lama lagi.
Sumber: Harian Metro
Baca juga: VIRAL Donat Palsu Pakai Roti Burger, Tapi Peniaga Kata Ia Dibakar Terlebih Dahulu