Baru berusia 9 tahun, Qaisyah Khairunnisa Bt Syahlil dari Sabah berjaya mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai juara Pentas Little Star SirapLimau musim pertama dengan meraih sebanyak 200,889 undi!
Kemenangan ini bukan sahaja menjadi kenangan manis buat Qaisyah, malah membuka langkah untuknya mengejar impian dalam bidang nyanyian. Lebih menarik, dia turut menyimpan hasrat untuk mengikuti jejak langkah kakaknya yang pernah mewakili Malaysia ke pertandingan seni persembahan antarabangsa.
Baca juga: Pentas Little Star 2026: 20 Bintang Cilik Bersaing, Siapa Bakal Jadi Juara? Jom Undi!
PENTAS LITTLE STAR SIRAPLIMAU RAIH 497,087 REKOD UNDIAN

Kempen Pentas Little Star anjuran SirapLimau akhirnya melabuhkan tirainya dengan sambutan yang menggalakkan apabila berjaya mengumpulkan 497,087 rekod undian daripada 23,685 pengundi.
Seramai 20 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan ini, sekali gus memperlihatkan sokongan orang ramai terhadap bakat cilik tempatan.
Qaisyah muncul sebagai juara dengan 200,889 undi, manakala empat peserta lain turut menerima hadiah sagu hati berdasarkan jumlah undian yang diperoleh.
Berikut ialah senarai peserta yang menerima hadiah sagu hati:
- Amatullah Hamidah — 191,022 undi
- Naufa Nur Azween — 66,462 undi
- Nur Khayla Azzahra — 55,250 undi
- Puteri Azalia — 23,420 undi
QAISYAH MAHU IKUT JEJAK LANGKAH KAKAK DALAM BIDANG NYANYIAN
Bagi Qaisyah, kemenangan ini bukan sekadar kejayaan dalam pertandingan, malah menjadi satu langkah untuk merealisasikan impiannya sebagai penyanyi.
Dia berharap dapat mengikuti jejak langkah kakaknya, Qahirah, yang pernah mewakili Malaysia ke World Championship of Performing Arts di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Selain itu, Qaisyah turut menyimpan impian untuk menjuarai Pertandingan Sugandoi Dazanak peringkat negeri Sabah yang akan datang.
“Saya sangat gembira kerana berjaya mencapai salah satu impian saya, iaitu memenangi pertandingan ini,” katanya.
Qaisyah juga berharap agar suatu hari nanti dapat menjadi penyanyi yang berjaya, berilmu dan terus mengembangkan bakat dalam bidang seni suara.
Semoga kemenangan ini menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus berusaha dan mengejar cita-cita yang diimpikan.
IBU QAISYAH AKUI TIDAK SANGKA ANAK MAMPU BERGELAR JUARA

Di sebalik kejayaan Qaisyah, sokongan keluarga turut memainkan peranan penting sepanjang penyertaannya dalam pertandingan ini.
Ibunya, Puan Shanty Bt Jaunan, mengakui pada awalnya agak sukar untuk membayangkan Qaisyah mampu bergelar juara kerana peserta Top 20 turut dibarisi bakat-bakat yang sudah dikenali dalam dunia hiburan, termasuk adik Azalia dan adik Cinta Suci.
Bagaimanapun, kesungguhan Qaisyah untuk memenangi pertandingan tersebut membuatkan keluarganya terus memberikan sokongan.
Menurut Shanty, mereka sebagai ibu bapa akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk membantu anaknya mencapai kejayaan.
Sokongan keluarga sememangnya penting dalam membantu anak-anak membina keyakinan diri, meneroka minat dan mengembangkan bakat yang dimiliki sejak kecil.
PENTAS LITTLE STAR SIRAP LIMAU DIHARAP TERUS KETENGAHKAN BAKAT CILIK MALAYSIA
Menurut Siti Haidatina, Pengurus Kempen Pentas Little Star, pihaknya berharap pertandingan ini dapat diteruskan sebagai platform untuk mencungkil dan mengetengahkan lebih ramai bakat cilik di Malaysia.
Menerusi musim pertama ini, pihak penganjur melihat sendiri potensi besar yang dimiliki oleh kanak-kanak tempatan, sama ada dalam bidang nyanyian, lakonan mahupun bakat lain.
Dengan peluang dan bimbingan yang sewajarnya, mereka diharap dapat mengembangkan bakat serta melangkah lebih jauh dalam bidang yang diminati.
SirapLimau turut berharap inisiatif seperti ini dapat menggalakkan lebih ramai kanak-kanak berani mencuba, menonjolkan kreativiti dan membina keyakinan diri sejak kecil.
Buat Qaisyah dan semua peserta yang mengambil bahagian, semoga pengalaman ini menjadi permulaan kepada perjalanan yang lebih jauh dalam mengejar impian masing-masing!
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini, sila layari https://siraplimau.com/pentaslittlestar/index.html dan ikuti Sirap Limau di semua media sosial rasmi @mysiraplimau.
Tahniah, Qaisyah!
Sumber: Sirap Limau
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

