Selain membuatkan makanan menjadi lebih berlemak dan lazat, rupanya ada kebaikan mentega yang ramai tak tahu. Mentega merupakan salah satu bahan yang sering digunakan dalam masakan. Tidak kira dalam lauk pauk mahupun pencuci mulut.
Namun begitu, masih ramai yang tertukar di antara mentega dan juga marjerin kerana rupa dan teksturnya yang hampir sama.
Marjerin ialah mentega buatan yang diperbuat daripada minyak sayur tetapi kadang kala, diperbuat dari minyak haiwan juga. Marjerin mempunyai bahan tambahan seperti garam, susu saringan dan juga pengemulsi.
Selain itu, marjerin juga mempunyai kandungan lemak yang tinggi berbanding mentega asli. Marjerin yang diambil secara berlebihan boleh membawa kepada masalah kesihatan.
Berbeza dengan mentega, mempunyai sumber kalsium yang bagus kerana ia adalah produk sampingan susu. Mentega juga dikatakan dapat merendahkan risiko beberapa jenis kanser seperti kanser paru-paru dan kanser prostat.
Hal itu kerana mentega mempunyai kandungan beta keroten, suatu sebatian yang bertukar menjadi vitamin A di dalam tubuh badan anda. Beta keroten ini juga bagus untuk penglihatan mata dan boleh melengahkan proses penuaan mata dan mencegah penyakit degenerasi makular berkaitan umur.
Di samping itu, mentega juga bagus untuk kesihatan kulit. Kandungan vitamin E dalam mentega mengurangkan kerosakan akibat sinaran UV, mengurangkan kemerahan, dan mempercepatkan proses penyembuhan kulit.
Oleh itu, apa kata jom cuba 10 hidangan bermentega di bawah untuk rasai sendiri.
Baca juga: Bukan Sebarang Ikan, Rupanya Ikan Kembung Ini Ada Banyak Khasiat Untuk Kesihatan!
KEBAIKAN MENTEGA, 10 MAKANAN INI JADI LEBIH SEDAP
1) Kebaikan Mentega – Nasi Putih Dengan Mentega
Semasa sedang memasak nasi, tambahkan sedikit mentega ke dalam beras dan gaul sebati. Kemudian masak nasi seperti biasa. Hasilnya, nasi menjadi lebih wangi dan lazat untuk dinikmati.
2) Ketam (Makanan Laut)
Makanan laut seperti ketam sangat sedap jika dimasak dengan mentega. Ia menyerlahkan lagi aroma dan kemanisan makanan laut. Salah satu menu yang boleh dicuba adalah resipi ketam mentega.
3) Roti Bakar
Kalau anda biasa bersarapan di kopitiam, menu roti bakar butter sekaya ini merupakan salah satu menu yang popular dan wajib cuba. Resipi ini mudah dan juga mengenyangkan perut, sesuai untuk menu sarapan seisi keluarga.
4) Kopi Mentega
‘Kopi Mentega’ mungkin kedengaran pelik bagi anda tetapi secara asasnya, ia hanya kopi biasa bersama tambahan mentega. Campuran dua bahan ini menjadikan rasa kopi lebih berkrim kerana mentega kaya dengan lemak.
Jangan risau, jika diambil dengan kadar sederhana ada lebih banyak manfaat berbanding keburukan!
5) Telur Goreng
Rupanya sedap gabungan telur dan mentega! Caranya adalah dengan pecahkan telur ke dalam mangkuk, letakkan mentega sebelum digoreng. Selain itu, anda juga boleh mencuba resipi nasi goreng mentega.
6) Kek Mentega Marmar
Kek mentega marmar merupakan kek legend yang mengimbau memori zaman kanak-kanak. Walaupun tiada bahan lain diletakkan seperti kacang atau buah, kek ini tetap sedap, lembut dan cair di mulut.
Aromanya yang wangi dan semerbak selepas dibakar juga pasti akan buatkan kita teringat-ingat! Jom cuba resipinya di sini.
7) Kebaikan Mentega – Pisang Goreng
Biasanya ada dua sebab yang membuatkan pisang goreng sedap dan lazat. Faktor pertama adalah jenis pisang yang dipilih. Salah satu jenis pisang yang digunakan adalah pisang emas kerana rasanya yang manis. Faktor kedua adalah adunan tepung. Kalau salah satu tak menjadi, memang kurang umph pisang goreng itu!
Namun begitu, ada satu lagi bahan rahsia yang biasa digunakan oleh peniaga goreng pisang. Bahan ini menyerlahkan lagi kemanisan pisang goreng dan bahan itu adalah, mentega.
8) Krim Aising
Krim aising biasanya dihasilkan menggunakan gula saja. Ianya sedap tapi cepat muak. Oleh itu, ramai yang memilih krim mentega atau buttercream untuk disapu di atas kek.
9) Kebaikan Mentega – Dal
‘Mentega dalam dal?! Sedapkah?’
Jika soalan ini terdetik dalam fikiran anda, maksudnya dal yang anda makan adalah dal ‘ceroi’ yang diberikan sekali dengan roti canai di kedai mamak.
Sebenarnya, ada banyak variasi dal yang lain jika anda suka yang jenis pekat dan berlemak.
10) Bergedil
Jika anda sudah biasa membuat bergedil, selepas ini jom cuba tambahkan 2 sudu besar mentega semasa melecek kentang dan dalam bater telur yang akan menyalut bergedil nanti. Hasilnya, bergedil akan menjadi lebih sedap tau!
Sumber: Butterkicap