Resepi nasi ayam simple ini sesuai untuk mereka yang pertama kali mahu memasaknya. Walaupun menggunakan banyak bahan, tapi cara penyediaannya sangat ringkas!
Jika anda menggunakan resipi ini, kesedapannya dijamin sama taraf seperti makan di kedai nasi ayam terkenal. Sekali cuba, suami dan anak-anak juga pasti akan minta masakkan berulang kali sebab terlampau lazat!
Kalau ada yang berminat nak cuba, ikuti saja resipi perkongsian oleh Puan Siti Husni di bawah.
Baca juga: Resipi Nasi Ayam Thai ‘Viral’ Yang Ringkas, Sedap & Senang Untuk Disediakan
RESEPI NASI AYAM SIMPLE & SEDAP
Bahan sup:
- Ayam
- Bawang putih
- Bawang merah
- Halia
- Sup bunjut
- Kiub pati ayam
- Daun sup
- Bawang goreng
Cara memasak sup:
1. Mula-mula panaskan minyak, tumis bawang merah, bawang putih dan halia. Tumis sehingga wangi, kemudian masukkan air. Letak air banyak pun tak apa sebab akan guna untuk masak nasi nanti.
2. Bila air dah mendidih, masukkan ayam, sup bunjut, kiub pati ayam, garam dan perasa.
3. Seterusnya, bila ayam kelihatan sudah putih, boleh angkat. Jangan tebus lama sebab nanti kita nak goreng pula ayam tu.
4. Asingkan sedikit air rebusan untuk masak nasi nanti. Baki dalam periuk digunakan untuk sup.
5. Untuk sup, taburkan sup dan bawang goreng pada akhir sekali sebelum dihidangkan nanti selepas semua bahan siap.
Bahan nasi:
- 3 cawan beras (cuci bersih)
- 3 1/2 cawan air rebusan ayam
- Bawang merah + bawang putih (kisar)
- 2 hiris halia
- 3 rempah sekawan
- 2 sudu butter
- Sehelai daun pandan disimpul
- Sedikit serbuk kunyit untuk warna kuning nasi
Cara memasak nasi:
1. Cairkan butter, tumis bawang kisar, halia dan 3 sekawan sehingga naik bau. Masukkan juga daun pandan, beras, sedikit serbuk kunyit dan sedikit garam. Kacau sebati dan masak di atas periuk nasi seperti biasa.
Bahan untuk perapan ayam:
- Ayam yang sudah direbus
- Sos tiram
- Sos cili
- Kicap pekat
- Madu
- Sedikit bawang merah, bawang putih, halia (kisar)
Cara memasak ayam:
1. Gaul sebati semua bahan dengan ayam yang sudah direbus, perapkan seketika. Kemudian goreng ayam seperti biasa.
Bahan untuk kicap:
- Air perapan ayam tadi
- Kicap cair
- Sos tiram
- Madu
- Sedikit sup ayam
Cara masak kicap:
1. Masak semua bahan atas api sehingga kuah mendidih dan sedikit pekat.
Bahan untuk sos:
- Cili besar
- Cili padi
- Tomato
- Bawang putih
- Sos cili
- Air sup
Cara buat sos:
1. Kisar cili besar, cili padi, tomato dan bawang putih. Tuangkan ke dalam periuk bersama sedikit air sup. Tambahkan gula, sos cili dan garam mengikut citarasa. Bila dah mendidih dan pekat, tutup api.
Bahan hiasan:
- Salad
- Timun
- Tomato
Sedia untuk dihidangkan dan menjamu selera. Selamat mencuba!
Kredit resipi dan gambar: Siti Husni
Baca juga: Cara Masak Nasi Ayam Briyani Yang Sempoi Tapi Sedap, Lain Dari Lain