Resepi pizza roti ini sesuai dijadikan pilihan bekal anak-anak yang ringkas tetapi tetap menyelerakan. Rasanya yang seakan-akan pizza kegemaran ramai pasti menarik perhatian si kecil, sama ada untuk sarapan pagi atau bekal ke sekolah.

Menariknya, resipi ini tidak memerlukan banyak bahan atau persediaan yang rumit. Malah, roti pizza ini boleh disediakan dalam masa yang singkat tanpa perlu membuat doh sendiri. Sesuai juga untuk ibu bapa yang mahukan menu menarik tetapi tidak mahu menghabiskan terlalu banyak masa di dapur.

Selain untuk hidangan keluarga, resepi pizza roti ini juga boleh dijadikan idea jualan kecil-kecilan untuk projek keusahawanan sekolah. Saiznya yang mudah dipegang dan dimakan menjadikannya praktikal untuk dibungkus. Anak-anak pun boleh turut membantu menyediakan menu ini sebagai aktiviti bersama!

Baca juga: Tak Perlu Oven! Ini Cara Buat Pizza Simple Guna Roti Keping Yang ‘Mewah’ Topping

RESEPI PIZZA ROTI LEMBUT

resepi pizza roti

Bahan-bahan:

  • 5–6 keping roti
  • 5–6 sudu besar sos Bolognese
  • 3 batang sosej (dihiris nipis)
  • 100–150g keju mozzarella atau keju pilihan
  • 2 sudu besar mayonis
  • 2 sudu besar sos cili

Cara penyediaan:

  1. Potong roti kepada dua bahagian secara menyerong untuk mendapatkan bentuk segi tiga.
  2. Sapu sos Bolognese pada permukaan roti hingga rata.
  3. Susun hirisan sosej di atas roti, kemudian taburkan keju secukupnya.
  4. Paipkan sedikit mayonis dan sos cili di atas topping mengikut citarasa.
  5. Susun roti di dalam dulang pembakar dan bakar pada suhu 180°C selama 5–10 minit atau sehingga keju cair dan permukaan roti sedikit garing.
  6. Keluarkan roti pizza daripada ketuhar dan biarkan seketika sebelum dibungkus untuk dijual.

Tip: Jika menggunakan air fryer, bakar pada suhu 180°C selama kira-kira 5–7 minit. Periksa keadaan roti supaya tidak terlalu garing.

Sumber: Threads @amzkitchen_shop

Baca juga: Resipi Roti Pizza Dengan Topping Ringkas, Masak Guna Air Fryer 8 Minit Dah Boleh Makan!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending