Kalau ada mangga muda di rumah, apa kata cuba buat resepi kerabu mangga ala kampung ini? Gabungan rasa masam daripada mangga, pedas cili padi serta rangup ikan bilis dan kacang tanah memang cukup menyelerakan.
Hidangan ini antara kerabu yang sedap dimakan begitu sahaja, lebih-lebih lagi apabila teringin sesuatu yang segar dan mempunyai rasa masam pedas. Tak perlu banyak bahan yang rumit, semuanya mudah didapati dan cara penyediaannya juga tidak mengambil masa lama.
Lebih menarik, kerabu mangga ini boleh dijadikan lauk sampingan untuk makan tengah hari atau malam. Makan bersama ikan goreng dan nasi panas memang kena dengan selera. Kalau suka makan kerabu sampai berulang kali menambah, bolehlah cuba resipi perkongsian ini!
Baca juga: Resipi Kerabu Kaki Ayam Yang Cukup Rasa Pedas, Masam & Manis, Ratah Saja Pun Dah Nikmat!
RESEPI KERABU MANGGA ALA KAMPUNG

Bahan-bahan:
- 2 biji mangga muda (disagat memanjang)
- 1 batang lobak merah (disagat memanjang)
- 5–6 batang kacang panjang (dihiris kecil)
- 2 biji bawang besar (dihiris nipis)
- 3–5 biji cili padi (dihiris mengikut tahap kepedasan)
- 1 genggam ikan bilis (digoreng dan ditumbuk kasar)
- 3 sudu besar kacang tanah (digoreng dan ditumbuk kasar)
- Sedikit daun ketumbar (dihiris)
- 1–2 sudu besar jus limau kasturi
- 1 sudu besar sos ikan (jika suka)
- Gula, garam dan perasa secukupnya
Cara-cara penyediaan:
- Mula-mula, masukkan mangga muda, lobak merah, kacang panjang dan bawang besar ke dalam mangkuk besar.
- Kemudian, masukkan cili padi yang telah dihiris, ikan bilis tumbuk dan kacang tanah. Gaulkan sedikit supaya bahan bercampur rata.
- Tambahkan jus limau kasturi, sos ikan, gula, garam dan perasa secukupnya.
- Gaul semua bahan sehingga sebati dan pastikan rasa masam, manis serta pedasnya seimbang mengikut selera.
- Akhir sekali, taburkan daun ketumbar dan gaul sekali lagi sebelum dihidangkan.
Tip: Untuk rasa yang lebih sebati, biarkan kerabu selama 5–10 minit sebelum dimakan supaya perisanya meresap ke dalam bahan-bahan. Namun, jika suka tekstur yang lebih rangup, sebaik-baiknya gaul kerabu sejurus sebelum dihidangkan.
Kerabu mangga ini sedap dinikmati begitu sahaja atau dijadikan lauk sampingan bersama ikan goreng dan nasi putih panas. Memang susah hendak berhenti mengunyah apabila sudah mula makan!
Sumber: dapoo_kak_la
Baca juga: Cara Buat Kerabu Laksa Thai, Rasa Masam Manis Pedas Buat Nak Menambah Berkali-Kali!
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

