Resepi biskut semperit susu ini antara pilihan yang boleh dicuba jika sedang mencari biskut yang mudah dibuat dengan hanya menggunakan tiga bahan. Tak perlu banyak bahan atau teknik yang rumit, cukup sekadar gaulkan semua bahan sehingga sebati sebelum dipaipkan menggunakan acuan semperit.
Menariknya, biskut ini menggunakan 100% tepung jagung tanpa campuran tepung lain. Sebab itu teksturnya berbeza daripada sesetengah jenis semperit yang lebih gebu. Hasilnya, biskut menjadi rangup dan mudah cair apabila dimakan.
Resipi yang dikongsikan oleh pengguna Facebook, Norshalieda Rozali, ini juga pernah menjadi antara biskut jualan terlaris beliau. Menurutnya, adunan tidak perlu dipukul terlalu lama atau dibiarkan terlebih dahulu sebelum dibakar. Jom cuba buat sendiri di rumah!
Baca juga: Biskut Red Pearl Pernah Dijual RM22 Sebalang, Ini Resipi Legend Yang Mudah Dibuat!
RESEPI BISKUT SEMPERIT SUSU 3 BAHAN

Bahan-bahan:
- 250g mentega atau marjerin
- ½ cawan susu pekat manis
- 400g tepung jagung
Nota: Boleh tambahkan cip coklat jika suka.
Cara-cara penyediaan:
- Masukkan mentega atau marjerin, susu pekat manis dan tepung jagung ke dalam mangkuk pengadun.
- Gaulkan semua bahan sehingga sebati. Tak perlu pukul terlalu lama, cukup sekadar adunan bercampur rata.
- Jika menggunakan tangan, sebatikan mentega bersama susu pekat manis terlebih dahulu sebelum masukkan tepung jagung sedikit demi sedikit.
- Pastikan adunan tidak terlalu keras kerana tekstur asalnya memang agak lembut dan sedikit melekat pada jari. Jangan tambah tepung berlebihan sehingga adunan menjadi terlalu keras.
- Masukkan adunan ke dalam acuan semperit dan paipkan di atas dulang pembakar mengikut bentuk yang disukai.
- Jika suka, letakkan cip coklat di bahagian tengah biskut sebagai hiasan.
- Bakar menggunakan suhu yang sesuai mengikut jenis dan saiz oven masing-masing sehingga biskut masak.
- Jika paipkan adunan dengan bentuk yang lebih tinggi, gunakan suhu lebih rendah dan panjangkan sedikit tempoh membakar supaya biskut masak sekata.
- Setelah masak, keluarkan dari oven dan biarkan sejuk sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.
Tip daripada pemilik resipi:
- Tidak perlu menganginkan atau membiarkan adunan selepas dipaipkan. Boleh terus bakar dan bentuk bunga dikatakan tidak mudah jatuh.
- Boleh gunakan apa-apa jenis acuan semperit, tidak semestinya acuan tembaga.
- Tekstur biskut yang betul sepatutnya rangup dan cair di mulut, bukannya gebu.
Nota suhu oven: Perkongsian asal menggunakan oven Trio 120L dengan tetapan suhu 200°C bahagian bawah dan 100°C bahagian atas selama kira-kira 30 minit. Suhu dan tempoh membakar mungkin berbeza mengikut jenis oven serta saiz biskut.
Sumber: Norshalieda Rozali
Baca juga;
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

