Resipi ikan bilis sambal goreng antara hidangan yang mudah disediakan dan sesuai dijadikan stok lauk di rumah. Gabungan ikan bilis goreng rangup dengan sambal yang pedas, manis dan sedikit masam memang menyelerakan, lebih-lebih lagi apabila dimakan bersama nasi putih panas.

Menariknya, sambal goreng ikan bilis ini bukan sahaja sesuai dijadikan lauk untuk makan tengah hari atau malam, malah boleh dinikmati bersama nasi lemak, bubur nasi dan roti. Kalau suka lauk yang boleh disimpan dan dimakan bila-bila masa, resipi ini boleh dicuba.

Namun, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian supaya ikan bilis kekal rangup dan sambal tidak cepat berair. Antaranya ialah cara membasuh ikan bilis, teknik menggoreng serta memastikan bahan kisar ditumis sehingga betul-betul garing.

Baca juga: Resipi Ikan Bakar Tomyam, Pesnya Yang Pedas Masam Meresap Sampai Ke Dalam Isi!

RESIPI IKAN BILIS SAMBAL GORENG

ikan bilis sambal goreng

Bahan-bahan:

  • 1 mangkuk ikan bilis
  • 1 mangkuk minyak masak
  • 20 biji cili api
  • 1 labu bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 keping asam gelugur
  • 1 sudu kecil gula
  • Garam secukup rasa

Cara-cara penyediaan:

  1. Basuh ikan bilis sekejap sahaja dan terus tapis. Elakkan merendamnya terlalu lama supaya ikan bilis tidak menyerap air.
  2. Panaskan minyak masak dalam kuali. Masukkan ikan bilis dan goreng sehingga garing.
  3. Angkat ikan bilis dan letakkan di dalam penapis untuk membuang lebihan minyak.
  4. Kisar cili api, bawang besar dan bawang putih. Pastikan bahan kisar tidak dicampur air supaya sambal lebih mudah garing.
  5. Gunakan minyak yang sama untuk menumis bahan kisar. Kacau rata dan masak sehingga sambal betul-betul garing.
  6. Masukkan asam gelugur, gula dan garam secukup rasa. Kacau sehingga semua bahan sebati.
  7. Tutup api dan biarkan sambal sejuk seketika.
  8. Setelah sambal tidak lagi panas, masukkan ikan bilis goreng dan gaul sehingga rata.
  9. Masukkan sambal ke dalam penapis untuk membuang lebihan minyak. Biarkan sehingga betul-betul sejuk.
  10. Simpan ikan bilis sambal goreng di dalam balang atau bekas kedap udara supaya kerangupannya lebih terjaga.

Petua kekal rangup:

  • Pilih ikan bilis yang elok: Gunakan ikan bilis berkualiti supaya hasil gorengan lebih rangup.
  • Kisar cili tanpa air: Boleh kisar cili bersama sedikit minyak atau gunakan food processor.
  • Jangan rendam ikan bilis: Basuh sekejap dan terus tapis untuk mengelakkan ikan bilis menyerap terlalu banyak air.
  • Goreng sehingga garing: Pastikan ikan bilis masak rangup sebelum diangkat dan ditoskan.
  • Tumis sambal sehingga garing: Bahan kisar perlu ditumis tanpa tambahan air sehingga betul-betul masak.
  • Sejukkan sambal dahulu: Jangan terus masukkan ikan bilis ketika sambal masih panas kerana wap boleh menyebabkan ikan bilis cepat lemau.
  • Toskan lebihan minyak: Gunakan penapis supaya sambal tidak terlalu berminyak.
  • Simpan dalam bekas kedap udara: Pastikan sambal benar-benar sejuk sebelum disimpan untuk membantu mengekalkan kerangupannya.

Sumber: Hanieliza Kamarudin

Baca juga: Resipi Sambal Ikan Tongkol Yang Menggoda Selera, Tambah Daun Kesum Terus Naik Aroma!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending