Ikan bakar tomyam boleh dijadikan pilihan lauk untuk makan tengah hari atau makan malam bersama keluarga. Gabungan pes cili kisar, pes tomyam dan perahan limau nipis menghasilkan rasa pedas masam yang meresap pada isi ikan.

Keistimewaan resipi ini terletak pada pes tumisnya yang turut menggunakan lengkuas, serai dan daun limau purut. Apabila dibakar, aroma bahan-bahan tersebut akan naik dan menjadikan ikan lebih wangi serta menyelerakan.

Untuk resipi ini, ikan talapia digunakan tetapi boleh juga digantikan dengan ikan siakap, kembung, bawal atau pari mengikut kesukaan. Jika menyediakan hidangan untuk anak-anak yang kurang gemar pedas, gunakan cili kering jenis gemuk kerana rasanya lebih ringan.

Baca juga: Ikan Kukus Limau, Kuah Masam Pedas Dengan Aroma Serai & Halia Yang Buat Terliur!

RESIPI IKAN BAKAR TOMYAM

ikan bakar tomyam

Bahan-bahan:

  • Ikan talapia (boleh ganti dengan ikan siakap, kembung, bawal atau pari)
  • 4 sudu besar cili kering kisar bersama lengkuas
  • 2 sudu besar pes tomyam
  • Bawang besar (dicincang halus)
  • Daun limau purut (dihiris)
  • Serai (dihiris)
  • Daun ketumbar
  • Garam secukup rasa
  • Air limau nipis
  • Minyak untuk menumis

Cara-cara penyediaan:

  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Masukkan bawang besar yang telah dicincang dan tumis sehingga naik bau.
  2. Masukkan cili kering kisar bersama lengkuas. Tumis selama kira-kira 5 minit.
  3. Kemudian, masukkan pes tomyam, air limau nipis dan garam secukup rasa. Kacau rata dan masak selama 5 minit lagi sebelum tutup api.
  4. Angkat pes tumisan dan biarkan sehingga sejuk. Selepas itu, masukkan hirisan daun limau purut, serai dan daun ketumbar. Gaul hingga sebati.
  5. Sediakan daun pisang atau aluminium foil. Letakkan separuh daripada pes tadi di atasnya.
  6. Letakkan ikan di atas pes, kemudian lumurkan baki pes pada bahagian atas dan badan ikan sehingga rata.
  7. Balut ikan dengan kemas dan bakar menggunakan pemanggang besi, ketuhar, air fryer atau pemanggang ajaib sehingga ikan masak sepenuhnya.
  8. Setelah masak, buka balutan dengan berhati-hati dan ikan bakar tomyam sedia untuk dihidangkan.

Tip: Jika anak-anak turut menikmati hidangan ini, gunakan cili kering jenis gemuk untuk menghasilkan pes yang kurang pedas. Pastikan ikan dibakar sehingga masak sepenuhnya sebelum dihidangkan.

Sumber: Faizah Husain

Baca juga: Resipi Sambal Ikan Tongkol Yang Menggoda Selera, Tambah Daun Kesum Terus Naik Aroma!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending