Bagi penggemar resipi laksa sardin, kuah yang pekat, cukup rasa dan mempunyai aroma tersendiri sememangnya menjadi tarikan utama hidangan ini. Lebih menarik, laksa juga boleh disediakan menggunakan ikan sardin segar yang direbus dan dikisar untuk menghasilkan kuah yang enak.

Kombinasi cili kering, daun kesum, bunga kantan dan asam keping menjadikan kuah laksa ini lebih harum dengan rasa masam dan pedas yang seimbang.

Kalau teringin nak menikmati laksa homemade bersama keluarga, jom cuba resipi laksa sardin segar ini!

Baca juga: Resepi Laksa Penang Berkuah, Ini Rahsia Aroma Wangi Yang Luar Biasa

Resipi Laksa Sardin – Bahan-Bahan

resipi laksa sardin

  • Cili kering secukupnya
  • 8 hingga 10 ekor ikan sardin segar, atau mengikut kuantiti yang diinginkan
  • 2 hingga 3 biji bawang
  • Daun kesum secukupnya
  • 1 kuntum bunga kantan
  • Asam keping secukupnya
  • Belacan (pilihan)
  • Garam dan perasa secukupnya
  • Air secukupnya

Cara-cara Membuat Resipi Laksa Sardin

  1. Gunting cili kering dan buang bijinya. Kemudian, rebus cili kering sehingga mendidih dan lembut.
  2. Kupas kulit bawang, basuh hingga bersih dan ketepikan.
  3. Toskan cili kering yang telah direbus, kemudian kisar bersama bawang sehingga halus.
  4. Siang ikan sardin segar, basuh hingga bersih dan rebus sehingga ikan masak.
  5. Angkat ikan dan biarkan seketika sehingga sedikit sejuk. Asingkan isi ikan daripada tulangnya.
  6. Kisar isi ikan sehingga halus. Kisar tulang ikan secara berasingan bersama sedikit air, kemudian tapis untuk mendapatkan pati ikan yang halus tanpa serpihan tulang.
  7. Sediakan sebuah periuk dan masukkan bahan cili serta bawang yang telah dikisar tadi, diikuti isi ikan dan pati ikan yang telah ditapis.
  8. Tambahkan air mengikut kepekatan kuah yang diinginkan. Jika suka kuah yang lebih banyak, boleh masukkan air tambahan secukupnya.
  9. Masukkan asam keping, daun kesum dan bunga kantan. Jika suka, tambahkan sedikit belacan untuk memberikan rasa yang lebih berlemak dan aroma yang tersendiri.
  10. Masak kuah menggunakan api sederhana sambil dikacau sekali-sekala supaya bahan sebati dan kuah tidak melekat pada dasar periuk.
  11. Akhir sekali, masukkan garam dan perasa secukupnya. Biarkan kuah mendidih perlahan sehingga semua bahan sebati dan aroma herba semakin naik.
  12. Setelah kuah masak dan mencapai kepekatan yang diinginkan, tutup api. Kuah laksa sardin segar sedia untuk dihidangkan!

Baca juga: Resipi Laksa Tumis Yang Pekat, Pedas & Penuh Aroma, Confirm Makan Sepinggan Tak Cukup!

Tip Hidangan Lebih Menyelerakan

Untuk menikmati laksa dengan lebih istimewa, hidangkan bersama mi laksa yang telah dicelur dan tambahkan telur rebus, cili merah atau cili padi yang dipotong, bawang yang dihiris, daun salad serta hirisan limau.

Perahan limau sebelum makan boleh memberikan rasa masam segar yang melengkapkan kuah laksa. Jika gemarkan rasa pedas, tambahkan cili mengikut cita rasa sendiri.

Mudah sahaja, bukan? Dengan bahan-bahan yang ringkas dan langkah penyediaan yang mudah, anda boleh menyediakan laksa kuah sardin segar yang enak untuk dinikmati bersama keluarga.

Selamat mencuba!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending