Resepi siakap tiga rasa antara pilihan lauk ikan yang selalu menjadi kegemaran ramai. Gabungan rasa masam, manis dan pedas bersama kuah yang pekat memang sesuai dimakan dengan nasi putih panas.

Kalau biasanya kuah siakap tiga rasa dimasak dengan nanas, kali ini boleh cuba versi tanpa nanas pula. Resipi ini menggunakan pelbagai jenis sayur seperti lobak merah, kubis bunga, lada benggala dan tomato untuk menambahkan warna serta tekstur pada hidangan.

Cara penyediaannya juga tidak terlalu rumit. Ikan siakap digoreng sehingga rangup sebelum disiram dengan kuah tiga rasa yang dimasak bersama sos dan sayur-sayuran. Jom cuba resepi siakap tiga rasa ini untuk hidangan keluarga di rumah!

Baca juga: Cara Buat Sambal Cili Padi Ikan Cencaru, Rupanya Letak Cuka Buat Rasa Lagi Menyengat!

RESEPI SIAKAP TIGA RASA TANPA NANAS

resepi siakap tiga rasa

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan siakap
  • Tepung goreng rangup secukupnya
  • 1 biji bawang holland
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 biji tomato
  • 1 batang serai
  • Lada benggala secukupnya
  • Cili padi secukupnya
  • Lada besar secukupnya
  • Lobak merah secukupnya
  • Kubis bunga secukupnya
  • Daun limau purut secukupnya
  • Daun ketumbar secukupnya
  • Sos cili secukupnya
  • Sos tomato secukupnya
  • Sos tiram secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • Sedikit air
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis

Cara-cara penyediaan:

  1. Bersihkan ikan siakap dan salutkan dengan tepung goreng rangup.
  2. Panaskan minyak dan goreng ikan sehingga masak serta rangup. Angkat dan ketepikan.
  3. Panaskan sedikit minyak dalam kuali lain. Tumis bawang Holland, bawang putih dan serai sehingga naik bau.
  4. Masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram. Kacau sehingga sebati.
  5. Masukkan kubis bunga, lobak merah, lada benggala, tomato, cili padi, lada besar dan daun limau.
  6. Tuangkan sedikit air, kemudian perasakan dengan garam dan gula mengikut cita rasa.
  7. Kacau dan masak sehingga sayur-sayuran empuk mengikut kesukaan serta kuah menjadi pekat.
  8. Letakkan ikan siakap goreng di atas pinggan hidangan. Tuangkan kuah tiga rasa bersama sayur-sayuran ke atas ikan.
  9. Taburkan daun ketumbar sebagai hiasan. Siap untuk dinikmati bersama nasi putih panas!
    Tip: Jika mahu ikan kekal rangup lebih lama, tuangkan kuah tiga rasa ketika hendak makan. Boleh juga sesuaikan jumlah cili padi, gula dan sos mengikut cita rasa keluarga.

Sumber: Noraskina Nor Mihat

Baca juga: Cara Goreng Ikan Tongkol Supaya Tak Keras, Hasilnya Luar Garing & Dalam Juicy!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending