Resipi kuetiau goreng ini sesuai dicuba bagi sesiapa yang menggemari hidangan ala kopitiam. Rasanya yang seimbang antara pedas, manis, dan masin menjadikannya pilihan menarik untuk sarapan atau makan tengah hari.

Rahsia kelazatannya terletak pada cili kisar yang ditumis hingga garing sehingga menghasilkan aroma berasap. Teknik ini memberikan rasa yang lebih menyerlah, seakan-akan kuetiau goreng yang biasa dinikmati di kedai kopitiam.

Hidangan ini lebih lengkap dengan tambahan udang, fishcake, dan fishball yang memberikan kepelbagaian rasa serta tekstur. Ikuti resipi ini untuk menyediakan kuetiau goreng ala kopitiam sendiri di rumah tanpa perlu keluar mencari hidangan kegemaran anda.

Baca juga: Resipi Kuetiau Kantonis, Rasa Kuah Yang Pekat & Beraroma Jadi Lebih Puas Makan!

RESIPI KUETIAU GORENG ALA KOPITIAM

kuetiau goreng

Bahan-bahan:

  • 500 g kuetiau
  • 6 ulas bawang putih, ditumbuk
  • 5 sudu besar cili kisar
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos tomato
  • 2 sudu besar karamel masakan
  • 2 sudu besar kicap lemak manis
  • 2 biji telur
  • Udang secukupnya
  • Fishcake secukupnya
  • Fishball secukupnya
  • 1 ikat daun kucai
  • Taugeh secukupnya
  • Garam dan perasa secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan minyak masak dalam kuali. Tumis bawang putih hingga kekuningan dan naik bau.
  2. Masukkan cili kisar dan tumis hingga sedikit garing untuk menghasilkan rasa berasap (smoky) pada kuetiau.
  3. Masukkan sos tiram, sos cili, sos tomato, karamel masakan dan kicap lemak manis. Gaul hingga sebati.
  4. Pecahkan telur ke dalam kuali dan kacau bersama bahan tumisan.
  5. Masukkan udang, fishcake dan fishball. Masak hingga udang bertukar warna.
  6. Perasakan dengan garam dan perasa secukupnya. Jangan letak terlalu banyak kerana kicap sudah memberikan rasa masin.
  7. Masukkan kuetiau dan sedikit air. Gaul rata supaya kuetiau bersalut dengan sos.
  8. Akhir sekali, masukkan daun kucai dan taugeh. Kacau selama kira-kira 5 minit atau sehingga taugeh sedikit layu. Sedia untuk dinikmati!

Sumber: Threads @ftnabihah

Baca juga: Rahsia Kuah Kuetiau Celup Jadi Pekat, Harum & Tak Pahit, Memang Rasa Lebih Kaw!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending