Resipi puding pandan gula melaka ini sesuai untuk penggemar pencuci mulut yang mempunyai rasa lemak manis dengan aroma pandan yang wangi. Gabungan lapisan pandan bersantan dan lapisan gula melaka menghasilkan rasa yang seimbang, sekali gus menjadikan puding ini lebih menarik untuk dinikmati.
Teksturnya yang lembut dan kenyal memang enak dimakan ketika sejuk, lebih-lebih lagi selepas makan tengah hari atau makan malam. Dua lapisan dengan warna berbeza juga membuatkan puding ini nampak cantik apabila dipotong dan dihidangkan.
Kalau sedang mencari idea pencuci mulut untuk keluarga atau tetamu, boleh cuba resipi puding pandan gula melaka ini. Cara penyediaannya tidak terlalu rumit, cuma perlu pastikan lapisan pandan sudah mengeras sebelum menuang adunan gula melaka supaya kedua-dua lapisan terbentuk dengan kemas.
Baca juga: Resepi Puding Buah Viral, Cute & Cepat Habis Bila Letak Atas Meja Dessert
RESIPI PUDING PANDAN GULA MELAKA

Bahan lapisan pandan:
- 25–30 g agar-agar tali (direndam)
- 1 tin susu cair
- 1 kotak santan kotak
- 1 cawan gula
- 1 cawan air pandan
- 1/2 sudu teh garam
- 2–3 ketul kecil gula batu
Bahan lapisan gula melaka:
- 1/4 bahagian agar-agar tali yang direndam dan diasingkan daripada adunan lapisan pandan
- 2 keping gula melaka
- 1/4 cawan gula merah
- 2 cawan air
- 1 helai daun pandan (disimpul)
Cara-cara penyediaan:
- Ambil kira-kira 3/4 bahagian agar-agar tali yang telah direndam. Masukkan ke dalam periuk bersama gula, air pandan, garam dan gula batu. Ketepikan susu cair dan santan terlebih dahulu.
- Masak menggunakan api sederhana sambil dikacau sehingga mendidih dan agar-agar larut sepenuhnya.
- Masukkan susu cair dan santan. Kacau rata dan masak lagi sehingga adunan mendidih.
- Tutup api, kemudian tuang adunan pandan ke dalam loyang berukuran 8 x 8 inci. Biarkan sejuk sehingga lapisan mula mengeras.
- Untuk lapisan gula melaka, masukkan baki agar-agar tali ke dalam periuk bersama gula melaka, gula merah, air dan daun pandan yang disimpul.
- Masak sehingga mendidih sambil dikacau hingga agar-agar larut dan gula melaka serta gula merah sebati. Tutup api.
- Apabila lapisan pandan sudah mengeras, lorek perlahan permukaannya menggunakan garpu. Langkah ini membantu lapisan gula melaka melekat dengan lebih baik dan mengurangkan risiko kedua-dua lapisan terpisah.
- Tapis adunan gula melaka, kemudian tuang perlahan-lahan ke atas lapisan pandan.
- Sejukkan puding di dalam peti sejuk sehingga kedua-dua lapisan mengeras sepenuhnya.
- Setelah keras, keluarkan puding daripada peti sejuk dan terbalikkan loyang di atas papan kek atau pinggan hidangan yang sesuai.
- Potong mengikut saiz yang disukai dan hiaskan dengan potongan daun pandan jika mahu. Puding pandan gula melaka sedia untuk dinikmati ketika sejuk.
Sumber: Nur Masri
Baca juga: Resipi Puding Biskut Layer, Sekali Potong Terus Nampak Cantik Berwarna-Warni
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

