Kalau suka hidangan udang yang rangup dengan salutan berlemak dan wangi, udang butter nestum ini memang wajib cuba. Bukan sahaja mudah disediakan, malah hasilnya boleh terus diratah begitu sahaja.

Udang digoreng hingga kekuningan sebelum digaul bersama tumisan butter, bawang putih dan beberapa bahan lain. Gabungan ini menghasilkan salutan yang rangup, harum dan sedikit pedas.

Resipi ini juga sesuai dijadikan lauk untuk makan bersama nasi atau hidangan ketika berkumpul dengan keluarga. Jangan terkejut kalau sekejap sahaja sudah licin, sebab sedap sangat!

Baca juga: Resepi Sup Udang, Kuahnya Penuh Aroma & Rasa Manis Semula Jadi Dalam Setiap Hirupan

RESIPI UDANG BUTTER NESTUM

udang butter nestum

Bahan-bahan:

  • Udang
  • 3 sudu besar butter
  • 4 ulas bawang putih (dicincang halus)
  • 2 biji cili padi (dihiris halus)
  • 1 mangkuk kecil nestum
  • Daun kari secukupnya
  • Tepung jagung secukupnya
  • Garam atau perasa secukupnya
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara penyediaan:

  1. Gaulkan udang bersama garam dan tepung jagung hingga sebati.
  2. Panaskan minyak dan goreng udang hingga kekuningan serta rangup. Angkat dan toskan minyak.
  3. Dalam kuali lain, cairkan butter. Tumis bawang putih, daun kari dan cili padi hingga wangi.
  4. Masukkan nestum dan gaul rata sehingga nestum sedikit garing. Perasakan dengan garam atau perasa secukupnya.
  5. Masukkan udang yang telah digoreng tadi.
  6. Gaul perlahan-lahan sehingga semua udang bersalut rata dengan campuran nestum.
  7. Angkat dan hidangkan ketika masih panas.

Siap! Udang butter nestum ini boleh terus dinikmati begitu sahaja atau dijadikan lauk untuk makan bersama nasi.

Sumber: Saida Wati Nordin

Baca juga: Udang Sambal Pekat, Wangi Dan Cukup Rasa, Ini Cara Mudah Buat Sambal Tak Rasa Hambar

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending