Nak buat cucur udang bulat yang bentuknya cantik, tak leper dan rangup di luar? Ada satu teknik mudah yang boleh dicuba, iaitu pastikan senduk yang digunakan untuk membentuk cucur benar-benar panas sebelum dimasukkan adunan.

Cucur udang memang antara hidangan yang sedap dibuat untuk minum petang. Bila digoreng panas-panas, bahagian luarnya garing manakala bahagian dalam pula lembut dan gebu. Lagi-lagi kalau ada tauge, kucai dan udang yang cukup di setiap gigitan.

Resipi ini juga boleh dihidangkan bersama sos cili, malah kalau nak makan gaya cucur udang klasik, boleh juga padankan dengan tauhu goreng, timun dan kuah kacang.

Baca juga: Resipi Cucur Ubi Kentang Goreng ‘Bulat’ Rangup, Tak Sempat Susun Cantik Atas Pinggan Dah Licin!

RESIPI CUCUR UDANG BULAT

cucur udang bulat

Bahan-bahan:

  • 2 hingga 2 1/2 cawan air
  • 2 1/2 cawan tepung gandum
  • 2 sudu kecil yis kering
  • 1/2 sudu besar gula
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 hingga 2 sudu kecil garam
  • 1/2 sudu besar serbuk perasa
  • 1/2 sudu kecil serbuk penaik
  • 1/2 biji bawang besar (dipotong dadu)
  • 1 ikat daun kucai (dipotong pendek)
  • 1 mangkuk besar tauge
  • Udang secukupnya
  • Minyak masak secukupnya untuk menggoreng

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan tepung gandum, yis kering, gula, serbuk kunyit, garam, serbuk perasa dan serbuk penaik ke dalam bekas. Elakkan garam terkena terus pada yis.
  2. Tuangkan air sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga mendapat adunan yang tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat.
  3. Masukkan bawang besar, daun kucai dan tauge. Gaul sehingga semua bahan sebati.
  4. Tutup bekas dengan kain bersih dan biarkan adunan berehat selama kira-kira 30 minit atau sehingga mengembang.
  5. Panaskan minyak dalam kuali. Pada masa sama, rendam senduk dalam minyak panas sehingga senduk benar-benar panas.
  6. Masukkan sedikit adunan ke dalam senduk, lebih kurang separuh penuh. Letakkan udang yang telah dibuang kulit di bahagian tengah, kemudian tambah sedikit lagi adunan sehingga hampir penuh.
  7. Letakkan seekor udang yang masih berkulit di atas adunan jika mahu cucur nampak lebih menarik.
  8. Terus masukkan senduk berisi adunan ke dalam minyak panas. Biarkan seketika sehingga bahagian bawah cucur mula mengeras, kemudian goyangkan senduk perlahan-lahan supaya cucur terlepas.
  9. Goreng sehingga cucur berubah warna keemasan dan garing. Angkat dan toskan minyak.
  10. Ulang proses sehingga semua adunan habis. Hidangkan cucur udang panas-panas bersama sos cili atau kuah kacang.

Resipi dan gambar milik: MyResipi

Baca juga: Resipi Cucur Lobak Merah Rangup, Anak Tak Suka Sayur Pun Makan Berselera!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending