Cinnamon roll merupakan sejenis roti manis yang terkenal dengan aroma kayu manis serta gulungan doh berinti gula perang. Teksturnya yang lembut dengan rasa manis dan sedikit berempah membuatkan pastri ini sesuai dinikmati pada bila-bila masa.

Kalau selalu beli di kedai roti atau kafe, apa kata kali ini cuba buat sendiri di rumah? Resipi cinnamon roll perkongsian oleh Puan Rozie Abu Bakar ini menghasilkan kira-kira 12 biji menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati.

Inti gulanya boleh diletak lebih banyak mengikut cita rasa masing-masing. Penggunaan marjerin yang agak tebal pada permukaan doh pula membantu gula perang mencair ketika dibakar sehingga menghasilkan inti yang seakan-akan karamel. Lebih lengkap apabila disajikan bersama cream cheese frosting di atasnya!

Baca juga: Cara Buat Donat Susu Gebu, Doh Yang Sama Boleh Buat Bomboloni & Aneka Jenis Roti!

RESIPI CINNAMON ROLL

cinnamon roll

Bahan doh:

  • 390 gram tepung gandum
  • 180 gram susu full cream
  • 1 sudu makan yis segera
  • 2½ sudu makan gula
  • 1¼ sudu teh garam himalaya
  • 57 gram marjerin planta
  • 1 biji telur gred A (anggaran 55 gram)

Bahan inti:

  • 1½ cawan gula perang (boleh tambah mengikut cita rasa)
  • 1½ sudu teh serbuk kayu manis (cinnamon)
  • Marjerin secukupnya untuk disapu pada doh

Bahan cream cheese frosting:

  • Cream cheese secukupnya
  • Gula aising secukupnya
  • Butter secukupnya
  • Sedikit perahan jus lemon

Cara-cara penyediaan:

  1. Panaskan susu full cream sehingga suam-suam kuku. Elakkan menggunakan susu yang terlalu panas supaya yis tidak rosak.
  2. Campurkan susu suam bersama yis segera, gula, garam, marjerin dan telur. Kacau sehingga semua bahan sebati.
  3. Tuangkan campuran bahan cecair ke dalam mangkuk pengadun. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit dan uli sehingga doh menjadi licin serta tidak berketul.
  4. Rehatkan doh selama kira-kira 5 minit sebelum dicanai.
  5. Canai doh mengikut saiz yang sesuai untuk digulung. Kemudian, sapukan marjerin pada keseluruhan permukaan doh. Boleh sapu sedikit tebal jika sukakan inti gula yang mencair dan berkaramel.
  6. Campurkan gula perang bersama serbuk kayu manis. Taburkan campuran tersebut secara rata ke seluruh permukaan doh.
  7. Gulung doh dengan kemas dan rapat supaya gulungan tidak terbuka ketika dibakar.
  8. Gunakan benang untuk memotong doh kepada beberapa bahagian dengan ketebalan kira-kira 2 inci. Cara ini membantu menghasilkan potongan cinnamon roll yang lebih kemas dan membulat.
  9. Susun potongan doh ke dalam acuan muffin bersaiz besar yang telah disapu sedikit marjerin supaya tidak melekat.
  10. Bakar dalam ketuhar pada suhu 140 hingga 150°C selama 30 hingga 40 minit atau sehingga permukaannya sedikit keperangan.
  11. Sementara menunggu cinnamon roll masak, sediakan cream cheese frosting. Campurkan cream cheese, gula aising, butter dan sedikit perahan jus lemon.
  12. Pukul semua bahan sehingga teksturnya gebu dan sebati. Laraskan jumlah gula aising mengikut tahap kemanisan yang disukai.
  13. Setelah cinnamon roll masak, biarkan seketika sebelum disapu dengan cream cheese frosting. Sedia untuk dinikmati!

Tip Simpan dan Panaskan Semula Cinnamon Roll

Kalau tidak habis dimakan, cinnamon roll boleh disimpan di dalam peti sejuk menggunakan bekas bertutup selama 2 hingga 3 hari. Sebaiknya, jangan sapukan cream cheese frosting terlebih dahulu. Letakkan frosting selepas roti dipanaskan semula.

Cara panaskan menggunakan ketuhar:

  • Semburkan sedikit air pada permukaan cinnamon roll.
  • Panaskan semula di dalam ketuhar untuk seketika sahaja sehingga suam. Jangan panaskan terlalu lama supaya teksturnya tidak menjadi keras.

Cara panaskan menggunakan microwave:

  • Basahkan tisu dapur dan perah sehingga tidak terlalu basah.
  • Tutup cinnamon roll menggunakan tisu tersebut.
  • Panaskan seketika sehingga roti kembali suam dan lembut.

Cara simpan dalam freezer:

Cinnamon roll juga boleh dibekukan untuk stok. Bakar doh sehingga separuh masak terlebih dahulu, kemudian biarkan sejuk sepenuhnya. Simpan di dalam bekas kedap udara atau plastik zip sebelum dimasukkan ke dalam freezer. Apabila mahu dimakan, nyahbekukan terlebih dahulu sebelum sambung membakar sehingga masak sepenuhnya.

Sumber: Rozie Abu Bakar

Baca juga: Cara Buat Donat Susu Gebu, Doh Yang Sama Boleh Buat Bomboloni & Aneka Jenis Roti!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending