Resepi shio pan sekarang memang tengah viral di Malaysia. Roti yang juga dikenali sebagai salt bread ini semakin mudah ditemui di bakeri dan kafe. Bentuknya yang comel, permukaan sedikit rangup serta aroma mentega yang memang menggoda.
Sekali pandang, shio pan nampak macam roti biasa yang digulung. Tapi bila digigit, bahagian luarnya sedikit rangup manakala isi dalamnya lembut dan ringan. Paling menarik, mentega yang diletakkan di dalam doh akan cair ketika dibakar dan menghasilkan bahagian bawah roti yang garing serta wangi.
Kalau dah selalu nampak orang ‘review’ shio pan di media sosial, apa kata kali ini cuba buat sendiri pula? Dengan bahan yang mudah didapati, roti viral ini sebenarnya boleh dibuat di rumah. Jom cuba resepi shio pan lengkap di bawah.
Baca juga: Resipi Roti Golok Kelantan Homemade, Lembut, Gebu & Manis Bermentega Macam Beli Di Kedai!
RESEPI SHIO PAN RANGUP DI LUAR & LEMBUT DI DALAM
Bahan-bahan poolish:
- 50g tepung roti
- 50g air
- Secubit yis segera
- Secubit garam
Bahan-bahan doh:
- 120g tepung roti
- 15g gula kastor
- 60g susu
- ¾ sudu kecil yis segera
- ½ sudu kecil garam
- 10g mentega
Bahan-bahan inti:
- 30g mentega (dipotong kepada 6 batang kecil)
Bahan untuk topping:
- Sedikit air
- Garam kasar atau pretzel salt
Cara-cara penyediaan:
1. Sediakan poolish
Masukkan tepung roti, air, yis dan garam ke dalam mangkuk. Gaul menggunakan sudu sehingga sebati. Tutup dan biarkan selama 1 jam pada suhu bilik. Selepas itu, masukkan ke dalam peti sejuk dan perap selama 12 hingga 16 jam.
Kalau nak cara lebih cepat, boleh juga biarkan poolish selama kira-kira 2 hingga 3 jam pada suhu bilik sehingga kelihatan berbuih.
2. Uli doh
Masukkan poolish yang telah diperam ke dalam mangkuk bersama tepung roti, gula, susu dan yis. Gaul dan uli sehingga semua bahan sebati dan doh mula menjadi elastik.
Masukkan garam dan mentega, kemudian teruskan menguli sehingga doh menjadi licin dan lembut. Tutup doh dan biarkan berehat selama kira-kira 40 minit atau sehingga doh mengembang.
3. Bahagikan doh
Selepas doh mengembang, keluarkan dan bahagikan kepada 6 bahagian, lebih kurang 50g setiap satu. Bulatkan setiap doh dan susun di atas dulang. Tutup dan biarkan berehat selama kira-kira 20 minit.
4. Bentukkan doh
Ambil satu doh dan canai sehingga menjadi bentuk tiga segi yang panjang, kira-kira 7 hingga 8 inci. Pastikan bahagian hujungnya lebih kecil dan memanjang kerana bentuk inilah yang akan memberikan rupa klasik shio pan.
5. Masukkan mentega
Letakkan sebatang mentega pada bahagian doh yang lebih lebar. Lipat doh menutupi mentega dan tekan bahagian tepi supaya tertutup kemas. Kemudian gulungkan doh ke arah hujung yang lebih kecil.
Pastikan hujung gulungan berada di bahagian bawah supaya doh tidak terbuka ketika dibakar. Ulang langkah yang sama untuk baki doh.
6. Letakkan atas dulang
Susun semua doh yang telah dibentuk di atas dulang pembakar dengan jarak yang mencukupi. Sapu atau semburkan sedikit air pada permukaan doh. Kemudian taburkan sedikit garam kasar atau pretzel salt di atas setiap roti.
7. Bakar dengan wap
Panaskan ketuhar terlebih dahulu. Masukkan dulang berisi shio pan ke dalam ketuhar. Letakkan satu bekas kosong yang sesuai untuk ketuhar dan tuangkan air panas ke dalamnya bagi menghasilkan wap.
Bakar selama kira-kira 14 hingga 15 minit sehingga permukaan roti bertukar keemasan. Selepas 6 minit pertama, keluarkan bekas berisi air daripada ketuhar dan teruskan membakar sehingga roti masak.
8. Sejukkan dan hidangkan
Semasa dibakar, mentega di dalam doh akan cair dan mungkin meleleh keluar sedikit. Bahagian bawah roti pula akan menjadi garing dan berwarna keemasan.
Keluarkan shio pan daripada ketuhar dan pindahkan ke redai. Biarkan seketika sebelum dinikmati. Paling sedap makan ketika masih suam kerana bahagian luar rangup, isi lembut dan aroma mentega memang lebih terasa!
Tip Buat Shio Pan:
- Jangan kedekut mentega kerana ia yang memberikan rasa buttery dan membantu menghasilkan bahagian bawah roti yang rangup.
- Pastikan mentega dibalut kemas dengan doh supaya tidak terlalu banyak keluar ketika proses membakar.
- Jangan skip proses rehat dan perapan doh kerana ia penting untuk mendapatkan tekstur roti yang lembut.
- Garam kasar di atas roti memberikan rasa masin yang menjadi ciri khas shio pan. Letak sedikit sahaja supaya tidak terlalu masin.
- Shio pan paling sedap dinikmati ketika masih suam dan baru keluar dari ketuhar.
Sumber: Thread By ZALORA MALAYSIA
Baca juga: Resipi Roti Bun Burger Inti Ayam ‘Creamy’ Berkeju, Dari Menu Biasa Jadi Luar Biasa Sedapnya!
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

