cara jimat duit

Nak tahu cara jimat duit semasa travel tapi masih dapat makan sedap dan halal? Guna trik ‘Airbnb Cooking’ ini! Ramai tak tahu, sebenarnya memasak sendiri di penginapan boleh bantu jimat banyak, terutamanya bila melancong ke negara yang makanan halalnya sukar dicari atau mahal.

Bayangkan, lepas penat berjalan, anda boleh balik ke tempat penginapan dan masak makanan ikut selera sendiri. Tak perlu risau tentang status halal, harga makanan yang melambung atau terpaksa ulang makan roti setiap hari.

Dengan sedikit persiapan sebelum berangkat, anda boleh siapkan menu ringkas tapi puas hati. Nak tahu apa yang perlu dibawa dan macam mana nak susun strategi masak sambil travel? Jom baca artikel ini dengan lebih lanjut.

Baca juga: 10 Negara Bajet Dengan Pilihan Makanan Halal Sedap & Murah, Jalan-Jalan Tanpa Risau!

CARA JIMAT DUIT SEMASA TRAVEL DENGAN MASAK MAKANAN HALAL DI AIRBNB

cara jimat duit

1. Tempah Airbnb Dengan Dapur Lengkap

Sebelum membuat tempahan, pastikan anda memilih tempat penginapan yang mempunyai dapur lengkap. Cari rumah atau apartmen yang mempunyai peti sejuk, dapur gas atau elektrik, serta peralatan memasak asas seperti periuk, kuali dan pisau. Dengan dapur yang lengkap, anda boleh memasak pelbagai hidangan mudah dan mengikut selera.

2. Bawa Sabun Sertu

Bawa sabun sertu (boleh dibeli di atas talian) untuk bersihkan peralatan dapur. Di negara bukan Islam, periuk, kuali atau sudu yang disediakan mungkin pernah digunakan untuk memasak makanan tidak halal seperti babi. Dengan sabun ini, anda boleh cuci dan sertu peralatan sebelum digunakan, supaya lebih yakin dan bebas was-was semasa memasak.

3. Bawa Periuk Multicooker

Bawa periuk multicooker semasa travel untuk memudahkan masak makanan. Periuk ini boleh digunakan untuk masak pelbagai hidangan seperti nasi, sup atau lauk lain. Periuk ini sesuai untuk penginapan Airbnb yang ada dapur kecil dan terhad. Jadi, anda boleh memasak banyak menu dalam satu masa.

4. Rancang Menu

Sebelum berangkat, buat perancangan menu yang mudah disediakan. Pilih resipi yang tidak memerlukan banyak bahan dan peralatan, seperti nasi goreng, sup sayur atau sandwic. Ini akan memudahkan anda untuk menyediakan makanan dengan cepat.

5. Bawa Bekalan Kering Dari Rumah

Jika anda bimbang sukar untuk mendapatkan bahan makanan halal di negara yang dituju, anda boleh membawa bekalan makanan kering dari rumah. Contohnya, rempah ratus, beras, mi segera dan sebagainya.

6. Bawa Pes Segera

Lebih mudah jika anda membawa sambal tumis kosong yang sudah siap dimasak. Bungkus dengan kemas dan apabila sampai di destinasi, anda hanya perlu tambah telur rebus atau ikan bilis. Malah, jika ditambah santan, ia boleh dijadikan masak lemak yang sedap.

7. Cari Pasar Raya Halal Terdekat

Salah satu kelebihan menggunakan Airbnb adalah, anda bebas untuk memasak apa saja menu yang disukai. Sebelum berangkat, buat sedikit penyelidikan tentang pasar raya halal di destinasi anda. Sekarang, banyak negara mempunyai pasar raya atau kedai yang menyediakan bahan mentah halal seperti daging, ayam dan produk tenusu.

Jika tiada pasar raya halal, anda boleh membeli makanan laut seperti udang, sotong, ketam dan lain-lain. Untuk bahan lain seperti biskut, roti dan sebagainya, pastikan anda memeriksa bahan-bahannya untuk mengelakkan bahan yang haram dimakan.

8. Bawa Bekas Makanan Dari Malaysia

Selain itu, jangan lupa bawa bekas makanan. Ia sangat memudahkan jika anda mahu makan semasa keluar berjalan. Di beberapa negara, sukar untuk mencari kedai makan halal. Jadi, dengan membawa bekal, anda dapat memastikan perut sentiasa terisi.

REV Media Group melalui My Resipi, Sirap Limau dan VOCKET memperkenalkan Halal Travel, kempen yang direka khas untuk membantu pelancong Muslim ke luar negara dengan tenang, selamat dan penuh yakin.

Ia adalah inisiatif menyeluruh yang membawakan panduan makanan halal, waktu solat & arah kiblat, tip perjalanan & keselamatan serta aktiviti ‘halal-friendly’ yang menarik.

Layari www.myresipi.com/halaltravelmy untuk maklumat lanjut.

Sumber: Siakap Keli, Travel Treasure, Joe Fadz

Baca juga: Jangan Sentuh 5 Makanan Ni Kalau Nak Travel Bajet – Nampak Sedap Tapi Mahal & Tak Halal!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Popular

Artikel Popular

Video Terkini

Restoran Pilihan JJCM

Laura Medina Cafe

Menyajikan "world menu", antaranya sajian Barat, Korea dan tempatan.

Mari Makan

Menyediakan pelbagai masakan Barat dan tempatan.

Restoran Gegey (Shah Alam)

Mula beroperasi sejak tahun 2016, Restoran Gegey menawarkan lima jenis hidangan nasi pada harga dibawah RM8.00!

RESTORAN PILIHAN