Selain dibuat sebagai pengat, labu juga boleh digunakan membuat Cucur Labu Manis dan kami mempunyai resipi yang mudah untuk anda mencubanya di rumah.
Bukan saja isinya lazat dan lembut, malah labu juga kaya dengan pelbagai khasiat. Orang Melayu sering gunakannya untuk buat masak lemak, kek, kuih dan sebagainya.
Hasil daripada resepi Cucur Labu Manis yang dikongsikan oleh NurulAin Alaui di Facebook kelihatan sungguh lazat dan membuat ramai terliur. Jom kita cuba!
Baca juga: Resepi Cucur Udang Rangup, Wanita Ini Ajar Cara Mudah Buat Guna Senduk
RESIPI CUCUR LABU MANIS
Bahan-bahan:
- Labu (tak kisah jenis apa)
- Daun pandan (tambahan, tiada pun tak apa)
- 1 atau 2 sudu gula secukupnya
- 1 atau 2 cubit garam secukupnya
- Tepung gandum
- Minyak masak (untuk menggoreng)
Cara-cara membuat:
1. Mula-mula, buang kulit labu dan potong secara kecil (jangan lupa basuh).
2. Masukkan labu dalam periuk yang diisi air dan rebus sampai empuk (boleh letak daun pandan supaya bau wangi, tapi tiada pun tak mengapa).
3. Apabila air sudah betul-betul mendidih, ambil garfu dan cucuk labu tersebut. Jika terasa elok dan lembut, boleh angkat dan tutup api.
4. Selepas itu, lenyek labu tadi dengan menggunakan senduk atau cawan di dapur.
5. Masukkan 1 atau 2 sudu gula bergantung kepada banyak mana labu dan tepung yang digunakan, tapi jangan manis sangat. Selepas gaul, rasa terlebih dahulu.
6. Masukkan secubit dua garam secukupnya, gaul rata dan rasa keseimbangannya, tapi pastikan manis mesti lebih mendahului daripada garam.
7. Seterusnya, masukkan tepung gandum secara sedikit demi sedikit, kemudian kacau. Jika lembik sangat, tambah tepung lagi, tapi jangan sampai keras sangat pula.
8. Setelah agak-agak sudah elok, tak lembik, tak keras dan sedang-sedang saja, boleh panaskan kuali dengan api sederhana dan letak minyak. Jangan guna api besar sebab takut cepat hangit.
9. Akhir sekali, boleh masukkan bancuhan tepung tadi dengan menggunakan sudu dan gorengkannya. Apabila nampak keperangan, boleh angkat dan toskan. Siap untuk dinikmati!
Cucur Labu Manis merupakan idea menarik untuk anda minum petang bersama keluarga di rumah. Sesekali makan sesuatu yang luar biasa, apalah salahnya.
Selamat mencuba!
Sumber: NurulAin Alaui
Baca juga: Resepi Cucur Jawa Paling Ringkas, Goreng Begini Barulah Terbentuk Elok