Setelah selesai melakukan tugas harian di rumah, mak-mak pasti akan mengisi masa lapang dengan membuat kuih atau kek yang mudah seperti Kek Marjerin.
Kek Marjerin sentiasa jadi pilihan mak-mak untuk dihidangkan sewaktu minum petang atau sebagai pencuci mulut untuk diberikan kepada saudara-mara yang buat kenduri.
Sesiapa yang baru nak belajar buat kek di rumah, kami rekomen anda untuk mulakan dengan resipi Kek Marjerin yang dikongsikan oleh Juraida Shukor di Facebook ini. Jom kita cuba!
Baca juga: Kek Lapis Asam Manis, Lembutnya Lebih Sempurna Dengan Cara Kukus
RESIPI KEK MARJERIN
Bahan-bahan:
- ½ cawan gula halus
- 1 cawan marjerin pelangi
- 1 cawan tepung gandum
- 3 biji telur
- 1 sudu kecil baking powder
- 1 sudu kecil esen vanilla
Cara-cara membuat:
1. Mula-mula, pukul gula dengan marjerin sehingga jadi putih dan sebati (saya guna mixer).
2. Selepas itu, masukkan telur sebiji demi sebiji dan pukul bagi rata.
3. Kemudian, masukkan tepung, esen vanilla, baking powder dan pukul sehingga sebati.
4. Seterusnya, boleh masukkan adunan ke dalam loyang (saya guna saiz 8 inci).
5. Akhir sekali, bakar dengan menggunakan suhu 160° selama 35 minit (ikut oven masing-masing). Setelah itu, bolehlah dipotong. Siap untuk dinikmati!
Setelah siap dibakar, anda akan dapati aroma kek ini memang memikat selera sampai baunya semerbak satu rumah. Dengan hasil cantik sebegini rupa, pasti tiada siapa akan menolaknya.
Cara buat Kek Marjerin lebih kurang sama seperti kek mentega dan kek minyak, cuma ia menggunakan marjerin sebagai bahan utamanya dan teksturnya lebih halus serta lembut.
Selain resipinya agak mudah, bahan-bahan yang diperlukan juga tak terlalu banyak. Tambahan pula, kek ini sentiasa mendapat permintaan tinggi dan ramai yang gunakannya untuk berniaga.
Cuba saja buat kek ini istimewa untuk ibu mentua anda, pasti bakal dipuji kerana hasilnya yang sungguh sedap. Silap-silap, anda sendiri pun tak berhenti memakannya.
Selamat mencuba!
Sumber: Juraida Shukor
Baca juga: Resepi Kek Butter Sedap, Guna Cara Ini Mesti Lembut Dan Sekata Punya!