Waktu petang paling menyeronokkan apabila menikmati Cucur Kembung Manis bersama orang tersayang di rumah. Makan secara panas-panas, memang nikmat.
Cucur Kembung Manis ialah kuih goreng yang diperbuat daripada tepung gandum atau tepung beras, gula dan air. Kadangkala, ia ditambah bahan lain seperti ubi, pisang atau kelapa.
Orang dulu-dulu tak panggil cucur, tapi jemput-jemput yang manis dan sedap. Tambahan pula, cara membuatnya sangat mudah dan sesuai untuk orang yang nak cepat siap masak.
Kami baru saja terjumpa resipi yang dikongsikan oleh Julia ALeen Aireish di Facebook yang hasilnya sangat montok dan mengagumkan ramai. Jom kita cuba!
Baca juga: Cucur Telur Rangup Di Luar, Inti Sedap Sangat Sampai Makan Tak Berhenti!
RESIPI CUCUR KEMBUNG MANIS
Bahan-bahan:
- 2½ cawan tepung gandum
- 4 sudu makan gula
- Secubit garam
- 2 cawan air panas mendidih
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, satukan tepung gandum, gula dan garam. Kemudian, gaul dan sekatakan.
2. Selepas itu, masukkan sedikit-sedikit air panas mengikut kesesuaian (dua cawan air panas itu hanya anggaran) sambil mengacau sebati (hati-hati air panas). Bancuh jangan lembik.
*Guna air yang betul-betul mendidih. Air panas coway tak berapa jadi.
3. Biarkan suam sebentar, kemudian jemputkan mengikut saiz kesukaan dan bulat-bulatkan.
4. Panaskan minyak, kemudian goreng sehingga kekuningan. Angkat dan toskan. Sedia untuk dihidang!
Jika tak nak guna gula semasa menyediakan Cucur Kembung Manis ini, boleh gantikannya dengan susu pekat manis. Namun, anda perlu pandai agak-agak kemanisannya saja.
Bagi memastikan hasil cucur yang terbentuk sempurna, anda perlu gunakan air yang betul-betul mendidih dan perlu berhati-hati supaya tak melecur semasa membuatnya.
Walaupun resipi ini sangat ringkas, namun ia sangat lazat untuk dihidangkan semasa minum petang buat seisi keluarga di rumah.
Senang cerita, buat saja Cucur Kembung Manis yang sudah pasti akan buat keluarga anda tak berhenti makan nanti.
Selamat mencuba!
Sumber: Julia ALeen Aireish
Baca juga: Cucur Roti Gardenia, Guna 3 Langkah Saja Tapi Lembutnya Luar Biasa