Mak-mak memang seronok apabila dapat resepi Kek Pisang kukus, lebih-lebih lagi jika hasilnya berurat cantik dan lembut dimakan.
Kek Pisang merupakan salah satu jenis kek klasik yang membuatkan sesiapa saja memakannya terimbau nostalgia lama sewaktu di kampung.
Bukan saja resepi, malah Arm Ika turut kongsikan jenis pisang yang digunakan olehnya semasa membuat Kek Pisang kukus ini di Facebook. Jom kita cuba!
Baca juga: Cara Goreng Pisang Supaya Banyak Kerak, Rangup Sampai Berjam-jam!
RESEPI KEK PISANG KUKUS
Bahan-bahan:
- 1 cawan gula putih (saya guna ¾ cawan)
- 1 cawan minyak
- 3 biji telur (saya guna 2 biji saja)
- 1 sudu kecil esen pisang
- 1 cawan pisang awak (siap dilenyek)
- 2 cawan tepung gandum
- 1 sudu kecil baking powder
- 1 sudu kecil soda bikarbonate
Cara-cara:
1. Mula-mula, bland telur, gula putih, minyak dan esen pisang, kemudian masukkan pisang lenyek dan bland sekali dua saja. Jangan lama-lama takut urat pisang putus.
2. Selepas itu, tuang bahan bland tadi ke dalam bekas tepung. Gaul sebati sehingga tiada ketulan.
3. Didihkan air kukusan dahulu dan sementara itu boleh sapu minyak pada loyang atau acuan dan tuang adunan tadi ke dalamnya.
4. Setelah air mendidih, masukkan loyang atau acuan berisi adunan tadi ke dalam periuk.
5. Akhir sekali, kukus menggunakan api sederhana selama 45 minit hingga 1 jam jika satu adunan ini dikukus dalam satu acuan besar. Siap untuk dihidang!
Resepi Kek Pisang kukus ini juga boleh dibuat secara bakar pada suhu 170ºC dalam masa selama 45 minit mengikut oven masing-masing.
Pisang harus dilenyekkan cantik-cantik dahulu untuk mengelakkan ia dibland terlalu lama. Anda hanya perlu tekan suis pada mesin bland itu sekali dua saja supaya hasil berurat cantik.
Jika anda bland terlalu lama, ia boleh membuatkan urat pisang itu putus dan hasilnya anda akan dapat yang berbintik saja.
Selamat mencuba!
Sumber: Arm Ika
Baca juga: Kek Pisang Kukus Paling Mudah, Lembut Dan Gebunya Rasa Klasik