Mak-mak yang tiada idea sarapan untuk anak-anak setiap kali bangun pagi, boleh cuba buat resepi nugget homemade yang sangat mudah.
Nugget merupakan makanan proses yang diperbuat daripada pelbagai jenis bahan kisar seperti ayam, ikan, daging dan lain-lain yang dilapisi tepung roti dan digoreng.
Walaupun sudah ada nugget frozen yang dijual di pasaran, namun lebih jimat dan puas hati jika dapat buat resepi nugget homemade dengan air tangan sendiri.
Syima Nordin telah kongsikan resepi nugget homemade tanpa perlu dikukus terlebih dahulu, malah anda boleh terus goreng begitu saja. Jom cuba di rumah!
Baca juga: Mini Mantou Nugget Burger, Sarapan Comel Untuk Anak Ke Sekolah
RESEPI NUGGET HOMEMADE
Bahan-bahan:
- 300gram isi ayam
- 80gram tepung pulut
- Garam (hujung sudu)
- Gula (hujung sudu)
- Perencah ayam (hujung sudu)
- Lada hitam
- Lada putih
- ½ lobak merah
- 3 ulas bawang putih
- ½ bawang holland atau bawang merah
- ¼ cawan air
- Serbuk roti
Cara-cara:
1. Kisar semua bahan kecuali serbuk roti.
2. Ambil isi ayam yang sudah dikisar, kemudian tepekkan isi ayam pada serbuk roti supaya ia tersalut sempurna.
3. Masukkan ke dalam minyak masak yang betul-betul panas.
4. Goreng sehingga mendapat warna ‘golden’ dengan api dapur yang sederhana, kemudian angkat dan toskan. Siap untuk dihidang!
Resepi nugget homemade ini bukan saja merupakan idea terbaik sebagai sarapan sebelum anak-anak ke sekolah, malah ia boleh dijadikan kudapan yang enak pada waktu petang.
Jika nak makan nugget yang lebih sihat, anda boleh gunakan bahan yang berkualiti seperti dada ayam tanpa lemak dan ikan segar.
Selain itu, anda boleh juga menambah sayur-sayuran sebagai bahan untuk membuat nugget supaya dapat memenuhi keperluan serat, vitamin dan mineral buat seisi keluarga.
Sebenarnya banyak lagi resepi homemade yang telah kami kongsikan sebelum ini, jadi jangan sampai terlepas untuk ikuti perkembangan kami yang seterusnya.
Selamat mencuba!
Sumber: Syima Nordin
Baca juga: Cara Buat Roti Canai Homemade, Lembut Dan Garing Bila Makan!