Peminat drama Korea atau Jepun pasti pernah nampak beberapa babak dengan hidangan Telur Gulung yang kelihatan sungguh menyelerakan.
Telur Gulung juga disebut sebagai tamagoyaki dalam bahasa Jepun, bermaksud telur panggang yang dimasak dalam kuali rata atau frying pan.
Baru-baru ini, Wan N Wan M telah sudi kongsikan di Facebook tentang cara buat Telur Gulung dengan langkah demi langkah. Jom cuba!
Baca juga: Telur Dadar Ala Nasi Kandar, Garing Di Luar Lembut Di Dalam
RESIPI TELUR GULUNG
Bahan-bahan:
- 6 biji telur (terpulang nak guna berapa dan saiz apa)
- Bawang kecil merah
- Daun bawang
- Daun sup
- Lobak merah
- 2 biji cili api (nak bagi ada rasa pedas sikit)
- Black pepper
- Garam secukupnya
Cara-cara:
1. Hiris bawang kecil merah, daun bawang, daun sup dan cili api secara halus, serta sagat lobak merah, kemudian masukkan telur, garam dan black pepper.
2. Kacau secukupnya supaya sebati aja, tapi jangan kacau seperti buat telur dadar kerana takut kembang nanti.
3. Panaskan kuali non-stick dan letak minyak masak sedikit, kemudian tuang 1 senduk penuh bancuhan telur tadi. Jangan lupa untuk gunakan api dapur yang perlahan.
4. Setelah ia kelihatan seperti hampir masak, bolehlah gulung separuh seperti gambar di bawah.
5. Selepas itu, tarik telurnya ke belakang.
6. Pusingkan kuali seperti dalam gambar supaya kerja jadi lebih mudah dan pastikan telurnya tinggal sebegitu supaya boleh sambungkannya nanti.
7. Tuang 1 senduk lagi dan pastikan kena separuh bahagian telur yang belum digulung tu supaya dapat melekat elok sama-sama.
8. Rupanya akan jadi sama seperti di dalam gambar, kemudian biarkan masak sekejap.
9. Gulung lagi dan ulang proses gulung separuh seperti tadi.
10. Letak lagi telurnya dan ulang sampai habis adunan, kemudian boleh potong. Siap untuk dihidang!
Gaya gulungnya yang tersendiri membuatkan Telur Gulung ini mempunyai tekstur telur yang masih lembut dan sedikit cair pada lapisan dalamnya.
Selamat mencuba!
Sumber: Wan N Wan M
Baca juga: Tips Buat Telur Separuh Masak Yang Pasti Jadi, 7 Minit Siap!