Minyak bijan adalah antara bahan yang sering digunakan untuk jadi penyedap dalam masakan. Pernahkah anda terfikir tentang cara buat minyak bijan sendiri di rumah?
Selain dalam masakan, minyak bijan juga sering digunakan dalam penjagaan kulit kerana khasiat yang terkandung di dalamnya.
Walaupun lebih mudah dengan membeli minyak bijan di kedai, namun jika buat sendiri, anda boleh memastikan kesegaran dan kualitinya.
Selain itu, nilai nutrisi dalam minyak bijan termasuk asid lemak penting, vitamin, dan mineral lebih terpelihara jika dibuat sendiri di rumah.
Anda boleh gunakan cara buat minyak bijan ini pada bila-bila masa yang anda nak. Ia semestinya bakal menjadi bahan yang serba guna di dapur anda.
Baca juga: Cara Buat Minyak Dari Kulit Ayam, Wangi & Masak Apa Pun Sedap!
CARA BUAT MINYAK BIJAN HOMEMADE
Bahan-bahan:
- 1 cawan bijan
- 2 cawan minyak masak
Cara-cara:
1. Cuci, toskan bijan dan sangai sekejap untuk keringkan air yang dibasuh.
2. Kisar dengan menggunakan pengisar kering.
3. Apabila sudah agak halus, masukkan ke dalam 2 cawan minyak masak. Jangan panas kan api dulu.
4. Kacau supaya serbuk bijan itu sebati dalam minyak masak dan barulah buka api sederhana.
5. Kena sentiasa kacau bijan dalam minyak masak supaya biji bijan tak hangit di bahagian bawah.
6. Apabila bijan sudah keperangan, boleh tutup api, kemudian kacau lagi sebab minyak masih panas.
7. Tutup periuk dan biarkan sejuk dulu, kemudian apabila sudah sejuk, boleh tapis minyak bijan. Nak tapis pun kena kacau dan tinggalkan sehingga tinggal hampas bijan saja. Siap!
Jangan buang hampas bijan kerana ia masih boleh dimasukkan dalam masakan. Beginilah cara untuk lebih berjimat di dapur.
Selain daripada menumis, anda boleh gunakan minyak bijan dalam salad, merendam daging, membuat sos, bakar roti, sup dan kari.
Dengan menggunakan cara buat minyak bijan ini, hidangan anda akan mempunyai rasa yang lebih unik dan mendalam.
Selamat mencuba!
Sumber: UmiSarah AbdulRashid
Baca juga: Cara Buat Serbuk Pati Ayam Homemade. Bebas Gula, Garam, MSG & Bahan Pengawet!