Nasi goreng pattaya merupakan masakan yang berasal dari negara Thailand dan sangat terkenal di Malaysia. Setiap kali pergi ke restoran Thailand, pasti akan memesan menu ini.
Hidangan ini berasaskan nasi goreng yang dibungkus dalam lapisan nipis telur dadar dan dilipat berbentuk empat segi. Selalunya dihidang bersama timun dan tomato.
Jika dah selalu makan di kedai, kali ini apa kata kita cuba buat sendiri di rumah untuk dihidangkan kepada ahli keluarga. Lihat saja resipi penuh perkongsian oleh Kak Yong di bawah.
Baca juga: Cara Masak Nasi Goreng Legend Ala Tahun 70an, Ringkas Tapi Sangat Lazat!
Tip dan teknik buat salutan pattaya yang kemas:
1. Boleh masak nasi goreng mengikut cita rasa sendiri. Ini nasi goreng kicap campur cendawan dan hirisan isi ayam.
2. Dua biji telur gred A, untuk 1 hidangan. Pukul macam buat telur dadar. Tidak perlu campur apa kerana nasi goreng sudah mewah perisa.
3. Guna kuali jenis telinga a.k.a kuali legend. Guna frying pan tidak akan menjadi.
4. Letak minyak pada keliling kuali dan hidupkan api kecil. Pastikan minyak sedikit sahaja, jika terlalu banyak susah untuk melebar.
5. Jika permukaan kuali sudah agak rata dengan minyak, senduk keluar baki minyak tadi.
6. Curahkan adunan telur dadar. Lengser sekeliling kuali, lagi lebar lagi bagus. Lebih senang untuk membungkus nasi.
7. Kena cepat, angkat kuali pakai pelapik sebab panas.
8. Bila dah agak masak, letak nasi goreng yang dimasukkan ke dalam mangkuk comel.
9. Kuak tepi telur secara perlahan-lahan. Hujung sudip isi minyak, untuk mudahkan tanggal telur dari kuali tanpa pecah. Lipat sekeliling menjadi segi empat.
10. Cara angkat, guna pinggan plastik dan terlangkupkan ke atas bungkusan nasi tadi. Kemudian, baru terbalikkan kuali.
11. Nasi goreng pattaya sedia untuk dihidangkan. Selamat mencuba!
Kredit resipi dan gambar: Kak Yong
Baca juga: Tip Masak Nasi Goreng Dalam Kuantiti Banyak Agar Lambat Basi