Mak-mak yang suka buat kuih semestinya cukup tahu tentang resepi Kuih Keria terpaling mudah. Tapi pernahkah anda membuatnya dengan menggunakan ubi keledek ungu?
Kuih Keria atau juga dipanggil sebagai Kuih Gelang merupakan sejenis kuih tradisional Melayu yang cukup disukai ramai.
Biasanya Kuih Keria dibuat dengan menggunakan ubi keledek bersama campuran tepung, gula dan garam. Kuih ini dibentukkan seperti cincin ataupun gelang tangan.
Sekali pandang memang ia kelihatan seperti donat, tetapi apabila dimakan, terasa gebunya yang lain dari yang lain. Tak sama langsung seperti makan donat.
Resepi Kuih Keria yang dikongsikan oleh SuiSan Aliezsha melalui Facebook ini cukup menarik kerana ia menggunakan ubi keledek ungu. Jom cuba!
Baca juga: Resipi Kuih Keria Gula Melaka, Rangup Di Luar & Lembut Di Dalam
RESEPI KUIH KERIA KELEDEK UNGU
Bahan-bahan kuih keria:
- 2 atau 3 buku ubi keledek ungu
- Tepung gandum
Cara-cara penyediaan kuih keria:
1. Buang kulit ubi keledek ungu dan bersihkan.
2. Rebus dengan sedikit garam sehingga empuk, tos dan sejukkan.
3. Lenyek ubi keledek ungu sehingga hancur, masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit. Tepung itu agak-agak saja, jangan terlalu banyak sebab nanti kuih jadi liat.
4. Kemudian bulatkan doh, tekan sedikit cucuk tengah-tengah untuk buat lubang.
5. Goreng seperti biasa. Kuih keria siap!
Bahan-bahan sira:
- Gula pasir
- Air
Cara-cara penyediaan salutan gula:
1. Panaskan kuali, kemudian masukkan air dan gula.
2. Biarkn mendidih sampai berbuih kemudian kacau. Agak-agak dah timbul buih halus gula dah jadi pekat, padam api. Salutan gula siap!
Bagi menyempurnakan resepi Kuih Keria ini, anda hanya perlu masukkan Kuih Keria yang siap digoreng tadi. Gaul-gaulkan sehingga gula melekat padanya.
Rasa lemak manis ubi keledek ungu dengan salutan gula menambahkan kelazatan kuih ini. Sesuai disajikan sebagai makanan ringan atau snek pada waktu pagi atau petang.
Selamat mencuba!
Sumber: SuiSan Aliezsha
Baca juga: Baru Tahu Ada Kuih Keria Versi Ubi Kayu, Sedap Rupanya!