Jom cuba buat Udang Creamy Tuscan. Memang sesuai untuk korang yang tengah diet nasi dan amalkan keto diet.
Penyediaannya juga ringkas, mudah dan boleh siap masa dalam 15 minit je. Menu ini memang sangat sedap dan nampak premium kalau tengok dari gambar.
Sebelum ini, MyResipi ada kongsikan Creamy Butter Tuscan Salmon, kali ini kita buat guna udang pula.
Resipi ini telah dikongsikan sendiri oleh Keto Mandy di laman Facebook dan telah meraih sehingga 13k shares! Memang ramai ingin mencubanya kerana nampak menarik.
Nak makan dengan nasi pun boleh, dengan pasta pun boleh. Jom kita tengok.
RESIPI UDANG CREAMY TUSCAN
Sesuai dimakan bersama: Nasi, Pasta, Roti
Bahan-bahan:
- 2 sdb minyak zaitun
- 2 sdb butter
- 1kg udang – siap kupas dan buang ekor
- garam
- lada hitam
- 3-4 ulas bawang putih -kisar
- 1 cawan tomato ceri atau anggur yang dibelah dua
- 3-4 cawan baby spinach
- 3/4 cawan heavy cream
- 1/4 cawan keju Parmesan – diparut
- 2 sudu besar parsley – dihiris nipis
Cara-cara memasak:
1. Panaskan minyak dan butter dalam kuali besar di atas api sederhana. Setelah minyak sangat panas dan butter cair, masukkan udang dan taburan garam & lada hitam, tumis selama 1 minit.
2. Ketepikan udang. Kemudian masukkan bawang putih, tomato, dan baby spinach ke dalam kuali yang sama. Tumis selama 1 minit atau sehingga bawang putih naik bau.
3. Kacau dalam heavy cream, keju parmesan, dan parsley. Kecilkan api kepada sederhana dan reneh sehingga sos berkurangan sedikit kira-kira 2 hingga 3 minit. Kembalikan udang ke dalam kuali dan kacau hingga sebati. Perasakan garam secukup rasa. Siap!
Tip Tambahan:
- Cuba guna udang segar. Udang beku pun bagus, tetapi yang segar akan sentiasa mempunyai rasa yang lebih baik.
- Kalau taknak guna salted butter, gunakan unsalted butter dan perasakan udang dengan garam sahaja.
Selamat mencuba!